TAMBUNAN: Kepimpinan berubah, amanah diteruskan. Demikian tekad barisan baharu Upko CLC Tambunan selepas mengadakan Mesyuarat Penyusunan Ahli Jawatankuasa (AJK) bagi penggal 2026-2029, baru-baru ini.
Menerusi penyusunan itu, Ajis Jimi dilantik sebagai Ketua CLC UPKO Tambunan yang baharu, manakala Yangun Digang sebagai Timbalan Ketua CLC Upko Tambunan.
Ajis yang berpengalaman dalam Upko, termasuk pernah memegang beberapa jawatan dalam parti sebelum ini, merakamkan penghargaan atas kepercayaan yang diberikan, selain menghargai jasa pemimpin terdahulu dalam membangunkan Upko Tambunan.
Beliau berkata, amanah itu akan diteruskan dengan memperkukuh gerak kerja parti di peringkat akar umbi serta meningkatkan pendekatan bersama masyarakat.
Sementara itu, bekas Ketua CLC Upko Tambunan, Peter Yasin, merakamkan penghargaan kepada barisan jawatankuasa atas usaha dan dedikasi sepanjang tempoh perkhidmatan.
Beliau turut memberi ruang kepada kepimpinan baharu untuk menerajui CLC Tambunan, selain akan meneruskan khidmat dalam Upko Bahagian Keningau sebagai Naib Ketua.
Turut hadir sebagai pemerhati ialah Timbalan Ketua Bahagian Upko Keningau merangkap Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Upko, Wilson Gan, yang berkongsi pandangan mengenai kepentingan memperkukuh kerja akar umbi, aktiviti kemasyarakatan dan publisiti positif dalam membina keyakinan masyarakat terhadap organisasi.
Menurut Wilson, pengalaman beliau bersama pelbagai NGO dan persatuan menunjukkan bahawa program berskala kecil tetapi dilaksanakan secara konsisten mampu memberikan impak besar kepada komuniti.
Mesyuarat penyusunan itu menjadi langkah penting bagi memastikan kesinambungan gerak kerja Upko CLC Tambunan, khususnya dalam usaha mendekati rakyat dan memperkukuh khidmat kepada masyarakat.

KEPIMPINAN BAHARU …. Ajis (duduk, kiri) bersama barisan kepimpinan Upko CLC Tambunan bagi penggal 2026-2029.






