KOTA KINABALU: Kota Kinabalu perlu bersedia dari sekarang untuk berdepan perubahan demografi apabila Malaysia semakin menghampiri status negara menua, termasuk dengan menjadikan bandar raya ini lebih mesra dan inklusif kepada warga emas.
Menteri Pembangunan Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki, berkata hasrat menjadikan Kota Kinabalu sebagai bandar mesra warga emas mampu direalisasikan menerusi kerjasama menyeluruh pelbagai pihak.
Katanya, ia membabitkan agensi kerajaan, penyedia perkhidmatan kesihatan, keluarga, sektor perniagaan serta pertubuhan komuniti bagi memastikan keperluan warga emas diberi perhatian sewajarnya.
“Penuaan sihat bukan hanya berkaitan penjagaan kesihatan, sebaliknya turut merangkumi keterangkuman sosial, sokongan komuniti, kebebasan dan kualiti hidup.
“Bandar mesra warga emas perlu mengambil kira keperluan golongan berusia supaya mereka dapat hidup bermaruah, kekal berdikari dan terus mengambil bahagian secara bermakna dalam masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Pembantu Menteri, Datuk Rina Jainal, pada Persidangan Malaysia Mengenai Penuaan Sihat (MCHA) Ke-11, di sini.
Julita berkata, perubahan profil penduduk turut menuntut perhatian lebih serius terhadap keupayaan komuniti, ruang awam dan perkhidmatan untuk memenuhi keperluan warga emas.
Menurut anggaran penduduk 2025 Jabatan Perangkaan Malaysia, penduduk berusia 60 tahun ke atas kini merangkumi kira-kira 12.6 peratus daripada populasi negara dan angka itu dijangka mencecah 15 peratus dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Katanya, berdasarkan Dasar Warga Emas Negara, pencapaian ambang 15 peratus akan meletakkan Malaysia dalam kategori negara menua.
“Ini menunjukkan pentingnya kita membuat persediaan lebih awal dan tidak menunggu sehingga penuaan penduduk menjadi cabaran yang lebih besar.
“Matlamatnya ialah memastikan rakyat dapat menikmati kehidupan lebih panjang, sihat dan aktif, selain kekal terhubung dengan keluarga serta komuniti,” katanya.

MELAWAT …. Rina melawat salah satu reruai pameran pada Persidangan Malaysia Mengenai Penuaan Sihat (MCHA) Ke-11 di Kota Kinabalu.






