Oleh FARDY BUNGGA
KOTA KINABALU: Pihak terlibat dinasihatkan supaya mendapatkan maklumat terperinci terlebih dahulu daripada Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) sebelum memutuskan tindakan memfailkan saman kepada agensi berkenaan.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata, walaupun tindakan saman adalah hak mereka, namun ia perlu melalui proses perundangan yang sewajarnya.
“Ya, itu hak mereka, tetapi mereka perlu melalui proses-proses perundangan yang ditetapkan. Cuma saya nasihatkan, sebelum memulakan saman ini, dapatkan dahulu taklimat secara terperinci daripada JANS agar mereka memahami keseluruhan sistem air yang terlibat.
“Sebab isu ini bukan disengajakan. Ada beberapa perkara dari segi teknikal yang perlu difahami dan diambil kira,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Madani Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 Parlimen Sepanggar di Politeknik Kota Kinabalu, di sini.
Terdahulu pada majlis berkenaan, Mustapha menyampaikan anugerah kepada seramai 386 pelajar cemerlang di 13 sekolah sekitar Parlimen Sepanggar.
Pada majlis berkenaan, anugerah turut disampaikan kepada pelajar kurang upaya yang mencapai pencapaian cemerlang.
Sementara itu, Mustapha berkata, pelbagai usaha sudah dilaksanakan, tetapi kelewatan berlaku disebabkan halangan teknikal.
Katanya, Loji Rawatan Air (LRA) Telibong Dua sebenarnya telah siap, namun kini berdepan kelewatan akibat kerja pemasangan paip yang belum selesai.
“Masalah sekarang ialah jajaran Pan Borneo itu belum siap, jadi paip baharu yang ingin dipasang tidak dapat disiapkan dalam masa yang ditetapkan.
“Jika masih ada mahasiswa yang tidak berpuas hati dengan penerangan yang diberikan, mereka boleh mempertimbangkan untuk memfailkan saman,” katanya.







