Kerajaan Negeri konsisten tuntut hak 40 peratus – Armizan

Oleh JOHN TAMBANAN


PAPAR: Penolakan usul persendirian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah baru-baru ini dibuat berdasarkan kuasa serta keputusan Speaker DUN.
Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali, menegaskan bahawa keputusan itu tidak mencerminkan penolakan terhadap perjuangan menuntut hak 40 peratus.
“Persepsi ini perlu diperbetulkan. Penolakan usul persendirian tidak bermakna DUN, apatah lagi Kerajaan Negeri, menolak perjuangan tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan Sesi Taklimat Status Projek Infrastruktur Utama Parlimen Papar di Pejabat Daerah Papar.
Menurutnya, Kerajaan Negeri kekal konsisten dalam menuntut hak 40 peratus, sama ada melalui platform DUN, rundingan mahupun tindakan perundangan.
“Rujuk sahaja afidavit balasan dan penghujahan Pejabat Peguam Besar Negeri Sabah dalam kes antara Sabah Law Society (SLS) dan Kerajaan Persekutuan. Pendirian kita jelas—hak 40 peratus adalah hak berperlembagaan yang wajib ditunaikan,” tegasnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa dalam sidang DUN terkini, kerajaan telah memperincikan perkembangan rundingan termasuk pendekatan penetapan kadar Pemberian Khas (Special Grant) berdasarkan data kutipan hasil.
Kerajaan Negeri, katanya, menyasarkan peningkatan kadar pemberian khas daripada kira-kira RM600 juta ketika ini kepada sekurang-kurangnya RM3 bilion setahun sebagai langkah awal—dan pelaksanaannya diharap dapat disegerakan.
Mengulas lanjut, Armizan berpendapat usul yang dibawa ADUN Kapayan lebih bermotifkan politik, termasuk usaha membentuk persepsi tertentu terhadap perjuangan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Kerajaan Negeri sedang bergerak secara agresif menuntut hak ini. Justeru, tidak munasabah untuk ADUN kerajaan menyokong usul peribadi yang berpotensi mengelirukan rakyat,” katanya.
Beliau turut membangkitkan beberapa keputusan pentadbiran terdahulu pada 2019 yang disifatkan sebagai tidak selari dengan kepentingan negeri, termasuk pendirian untuk tidak membawa tuntutan ke mahkamah serta persetujuan terhadap semakan kadar Pemberian Khas sebanyak RM53.4 juta.
“Sekiranya semakan baharu masih belum dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan menjelang sidang DUN akan datang, saya akan berbincang dengan ADUN penyokong kerajaan untuk membawa usul berkaitan hak 40 peratus,” katanya.
Tambah beliau, langkah itu juga penting bagi merekodkan secara rasmi dalam hansard DUN berkaitan keputusan pentadbiran terdahulu untuk rujukan rakyat dan generasi akan datang.
Armizan yakin Kerajaan Persekutuan akan memberi perhatian serius terhadap tuntutan Sabah, lebih-lebih lagi selepas pengiktirafan terbuka oleh Perdana Menteri bahawa hak 40 peratus Sabah adalah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Pendirian ini menandakan satu anjakan penting dalam landskap dasar negara, dan Kerajaan Negeri akan terus memastikan hak Sabah dilaksanakan sepenuhnya,” katanya.

Armizan