Sewa kereta untuk kegiatan jenayah, dua lelaki ditahan di Ranau

RANAU: Taktik dua lelaki yang dipercayai menggunakan kereta sewa dari Penampang untuk melakukan kegiatan jenayah terbongkar apabila mereka ditahan bersama barangan disyaki curi dan peralatan pecah rumah dalam rondaan cegah jenayah di sini, Isnin lalu.
Kedua-dua lelaki tempatan itu ditahan anggota Balai Polis Ranau sebelum pemeriksaan terhadap kenderaan yang dinaiki mereka menemukan beberapa barangan mencurigakan.
Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud, berkata siasatan awal mendapati kereta yang digunakan kedua-dua suspek itu disewa dari Penampang.
Katanya, pemeriksaan terhadap kenderaan berkenaan yang disaksikan pemandunya menemukan 10 keping tembaga, sebilah parang, dua pemotong besi, satu playar muncung tirus, satu playar pengunci dan dua pasang sarung tangan.
“Semakan rekod mendapati suspek pertama mempunyai enam rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan satu kesalahan trafik.
“Suspek kedua pula mempunyai dua rekod kesalahan lampau berkaitan dadah serta enam rekod kesalahan trafik,” katanya dalam satu kenyataan.
Mursalin berkata, polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti kemungkinan pembabitan kedua-dua suspek dalam kes pecah rumah dan jenayah harta benda lain di sekitar daerah Ranau.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 22A dan Seksyen 18(e) Ordinan Kesalahan-Kesalahan Kecil Negeri Sabah serta Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
“Pihak polis akan terus mempergiat rondaan dan operasi bagi membanteras kegiatan jenayah serta memastikan keselamatan masyarakat di daerah ini.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan jenayah diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau di talian 088-875222,” katanya sambil menambah bahawa identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan.

RAMPAS …. Antara barangan yang dirampas dari kenderaan dinaiki suspek, termasuk 10 keping tembaga, sebilah parang, dua pemotong besi, playar muncung tirus, playar pengunci dan dua pasang sarung tangan.