Oleh FARDY BUNGGA
KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah berjaya menahan 132 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam operasi di tiga daerah, semalam.
Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, tiga operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan ialah Ops Sapu dan Ops Kutip di Lahad Datu, Ops Mahir, Ops Selera dan Ops Gegar di Kota Kinabalu serta Ops Sapu di Sandakan.
Katanya, operasi di daerah Lahad Datu, berjaya memeriksa seramai 81 individu sebelum menahan 52 warga asing.
“Semua warga asing terbabit ditahan selepas disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen, termasuk tidak memiliki dokumen sah serta melanggar syarat pas di bawah Akta Imigresen 1959/63.
“Tangkapan melibatkan warga Filipina iaitu 11 lelaki, 17 perempuan dan 24 kanak-kanak,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, semalam.
Menurutnya, bagi operasi di Kota Kinabalu, pihaknya berjaya memeriksa seramai 67 individu di beberapa premis.
Katanya, hasil pemeriksaan, seramai 7 warga asing terdiri daripada enam lelaki warga Filipina dan seorang wanita warga Indonesia kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
“Seterusnya di Sandakan, Ops Sapu yang dilaksanakan telah memeriksa seramai 147 individu dan seramai 73 warga asing telah ditahan.
“Tahanan melibatkan 12 lelaki dewasa, 19 wanita dan 40 kanak-kanak warga Filipina serta masing-masing seorang wanita dan kanak-kanak warga Indonesia,” katanya.
Sehubungan itu, SH Sitti Saleha menegaskan JIM Sabah akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa.
Katanya, ia adalah usaha membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin serta memastikan pematuhan undang-undang imigresen negara sentiasa dipelihara.

OPERASI … Seramai 132 PATI berjaya ditahan dalam operasi bersepadu JIM di tiga daerah berasingan.








