Oleh FARDY BUNGGA
SANDAKAN: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah berjaya menumpaskan kegiatan penyimpanan rokok tidak berkastam dalam serbuan di sebuah premis di Bangunan Baru Bandar Sandakan, Jalan Old Slipway, Sabtu lalu.
Dalam operasi berkenaan, sebanyak 187,480 batang rokok pelbagai jenama, termasuk rokok kretek dan rokok putih bernilai RM229,000.
Komander PPM, Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman, berkata semua rokok yang disyaki tidak berkastam itu ditemui disembunyikan di dalam dua bilik yang dijadikan stor penyimpanan.
Katanya, semua rokok berkenaan terus dirampas untuk siasatan lanjut mengikut peruntukkan undang-undang berkaitan.
“PPM akan terus memperhebat operasi penguatkuasaan dan kerjasama strategik dengan agensi berkaitan.
“Ia bagi memastikan kegiatan penyeludupan dapat dibanteras secara menyeluruh demi memelihara keselamatan serta kepentingan ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan media, kelmarin.
Menurutnya, siasatan lanjut sedang giat dijalankan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
Sementara itu, Ahmad Amri berkata, sepanjang tempoh Januari hingga Julai tahun ini, PPM Sabah berjaya merekodkan 42 kes penyeludupan rokok.
Katanya, ia termasuk 30 tangkapan serta jumlah keseluruhan nilai rampasan sebanyak RM6.030 juta.
“Kejayaan ini mencerminkan komitmen berterusan PPM Wilayah 4 Sabah dalam membanteras aktiviti penyeludupan yang menjejaskan hasil negara,” tegasnya.

RAMPASAN …. Semua rokok dipercayai tidak berkastam dirampas dalam serbuan dijalankan PPM.





