Sabah rangka Pelan Hala Tuju OGSE 2026-2030

Perkukuh industri minyak dan gas mampan

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah sedang merangka Pelan Hala Tuju Perkhidmatan dan Peralatan Minyak dan Gas (OGSE) Sabah 2026-2030 bagi membangunkan industri yang lebih mampan, berdaya tahan dan mampu memberikan nilai tambah kepada ekonomi negeri.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, pelan lima tahun itu akan menjadi panduan strategik bagi memperkukuh kedudukan Sabah dalam industri minyak dan gas, sekali gus memastikan manfaat ekonomi yang lebih besar dapat dinikmati rakyat negeri ini.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri percaya industri OGSE yang mampan tidak boleh dibangunkan hanya melalui pendekatan dasar yang bersifat ‘atas ke bawah’ semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, Petronas serta semua pihak berkepentingan termasuk operator, kontraktor, vendor, persatuan industri, institusi kewangan dan penyedia latihan.
“Maklum balas daripada semua pihak amat penting dalam pembangunan Pelan Hala Tuju OGSE Sabah 2026-2030 ini.
“Industri yang kukuh dan berdaya tahan perlu dibentuk menerusi kerjasama strategik serta penyertaan aktif semua pemain industri,” katanya.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun sempena Persidangan dan Pameran OGSE Sabah 2026 yang julung kali diadakan di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini.
Hajiji berkata, pelan hala tuju berkenaan perlu bersifat praktikal, dipacu industri dan berorientasikan hasil, selain menangani kekangan sebenar yang dihadapi syarikat tempatan.
Beliau berkata, tiga bidang utama akan diberikan tumpuan iaitu akses kepada pembiayaan, peningkatan keupayaan teknikal dan pemadanan bakat.
Bagi aspek pembiayaan, kerajaan mahu mewujudkan kemudahan kredit yang lebih stabil serta pilihan modal kerja khusus bagi membolehkan vendor tempatan membiayai projek luar pesisir yang memerlukan modal besar.
Dalam aspek peningkatan teknikal pula, vendor tempatan perlu dipersiapkan untuk merebut peluang dalam skop kejuruteraan yang lebih kompleks, khususnya berkaitan integriti aset dan projek pembangunan utama di Sabah.
Sementara itu, pemadanan bakat bertujuan menghubungkan peluang pekerjaan teknikal bernilai tinggi secara terus kepada belia Sabah supaya tenaga mahir tempatan dapat terus berkhidmat dan membina kerjaya di negeri sendiri.
Beliau yakin cadangan dan pandangan yang dikemukakan sepanjang persidangan itu akan membantu memperkukuh pelaksanaan pelan hala tuju berkenaan.
Menurut Hajiji, sektor OGSE mempunyai potensi besar sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negeri kerana mampu mengubah Sabah daripada hanya bergantung kepada pengeluaran sumber mentah kepada penyediaan perkhidmatan bernilai tambah.
“Ia juga menyokong pertumbuhan inklusif sejajar dengan aspirasi SMJ 2.0 melalui peningkatan produktiviti, pembangunan kandungan tempatan, penciptaan peluang pekerjaan, pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta kepelbagaian sumber pendapatan negeri,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata Kerajaan Negeri menyasarkan pemilikan kontrak oleh vendor OGSE tempatan mencapai 60 peratus pada tahun ini susulan kejayaan pelaksanaan dasar Jawatankuasa Kecil 4 (SC4) di bawah Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) antara Kerajaan Sabah dan Petronas yang dimeterai pada 7 Disember 2021.
Katanya, jumlah kontrak aktif yang diperoleh vendor tempatan meningkat dengan ketara daripada 133 kontrak pada 2021 kepada 499 kontrak aktif pada 2026.
“Sehingga kini, seramai 393 vendor OGSE berpangkalan di Sabah telah diiktiraf dan dinilai secara rasmi berdasarkan keupayaan teknikal masing-masing,” katanya.
Hajiji turut menegaskan bahawa Kerajaan Negeri mahu melihat lebih banyak syarikat Sabah melangkah ke tahap lebih tinggi sebagai kontraktor utama, pemegang lesen, penerima teknologi baharu dan pencipta nilai jangka panjang, bukan sekadar bergantung kepada kerja subkontrak yang berkeuntungan rendah.
Beliau berkata matlamat utama kerajaan ialah memastikan lebih banyak nilai ekonomi yang dijana daripada industri minyak dan gas Sabah kekal berada di negeri ini, sambil meneruskan kerjasama strategik dengan rakan industri nasional dan antarabangsa yang berwibawa.
Pada masa sama, Sabah mengalu-alukan kehadiran operator antarabangsa, syarikat minyak dan gas utama negara serta penyedia perkhidmatan berpengalaman untuk menjadi rakan pembangunan negeri.
Namun, katanya, kerjasama yang diharapkan bukan sekadar perkongsian biasa, tetapi perlu membawa manfaat nyata melalui pemindahan teknologi, pembangunan kapasiti vendor tempatan, latihan tenaga kerja Sabah serta penyertaan komersial yang adil dan mampan.
Beliau berkata Sabah mempunyai asas sumber yang kukuh, persekitaran operasi yang kompetitif, hala tuju dasar yang jelas menerusi CCA serta kerajaan negeri yang mesra pelabur.
Mengimbas perkembangan industri itu, Hajiji berkata pembangunan minyak dan gas Sabah telah menunjukkan kemajuan ketara sejak penemuan besar pertama pada tahun 1971.
“Hari ini, Sabah memainkan peranan penting dalam landskap tenaga negara dengan menyumbang lebih 40 peratus pengeluaran minyak mentah Malaysia serta kira-kira 20 peratus pengeluaran gas asli negara,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan Sabah tidak boleh lagi berpuas hati sekadar menjadi pembekal sumber mentah kerana angka pengeluaran semata-mata tidak mencukupi untuk membina ekonomi moden dan berdaya tahan.
“Masa depan Sabah bukan hanya terletak pada pengeluaran sumber, tetapi juga pemilikan, pelaksanaan dan penguasaan tempatan.
“Kita mesti memastikan kekayaan yang dijana daripada sumber negeri dapat melahirkan lebih banyak syarikat tempatan yang kukuh, peluang pekerjaan yang lebih baik, keupayaan teknikal yang lebih mendalam serta limpahan ekonomi yang lebih luas kepada rakyat Sabah,” katanya.-Oleh Wu Vuide

PAMERAN …. Masidi, Ewon dan tetamu jemputan lain mendengar taklimat daripada peserta yang menyertai pameran sempena majlis itu.