UMS Pastikan Kepelbagaian Bahasa Terus Dipelihara – Kasim

KOTA KINABALU: Keadaan global masa kini yang semakin saling berhubung merentas pelbagai bahasa dan budaya yang dipacu teknologi menuntut kita untuk memastikan kepelbagaian bahasa terus dipelihara.
Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor, JP berkata bahasa bukan sekadar sistem komunikasi, sebaliknya wadah sejarah, identiti, ilmu, budaya dan rasa kepunyaan bagi membolehkan penyertaan bermakna dalam kehidupan sosial, menghubungkan masyarakat serta memelihara warisan.
”Keadaan yang kita ada pada hari ini membuka peluang besar untuk komunikasi dan kerjasama merentas sempadan,” katanya ketika merasmikan 5th International Conference on Languages, Linguistics and Society (ICLALIS) 2026 di Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) UMS, di sini, pagi kelmarin.
Bertemakan “Languages in Action: Linguistic Diversity, Accessibility, and Social Inclusion,” ICLALIS 2026 menjadi platform kepada sarjana, pendidik, penyelidik, pembuat dasar dan pengamal untuk bertukar pandangan, membina kerjasama serta membincangkan isu bahasa semasa.
Kasim menggalakkan peserta memanfaatkan persidangan itu bagi memperkukuh dialog ilmiah, mencabar andaian sedia ada, meneroka kerjasama antara disiplin serta menghasilkan idea inovatif yang memberi impak melangkaui dunia akademik.
Sementara itu, Dekan PPIB UMS, Prof. Datuk Dr. Ismail Ali, berkata ICLALIS 2026 mencerminkan komitmen UMS untuk meraikan kepelbagaian bahasa dan melindungi warisan linguistik, khususnya dalam konteks Sabah yang kaya dengan kepelbagaian bahasa dan budaya.
“Bahasa bukan sekadar alat komunikasi, tetapi menghubungkan budaya, memelihara identiti dan memperkasa komuniti,” katanya.
Beliau berkata perkongsian ilmu sepanjang persidangan itu diharap dapat mencetuskan idea dan kerjasama baharu dalam bidang bahasa, linguistik dan masyarakat, selain memberi manfaat kepada institusi serta komuniti.
Pengerusi Penganjur ICLALIS 2026 yang juga Timbalan Dekan Penyelidikan, Inovasi dan Khidmat Komuniti PPIB UMS, Dr. Daron Benjamin Loo, berkata persidangan tahun ini menerima penyertaan 70 peserta tempatan dan antarabangsa dari China, Hong Kong dan Nigeria, melibatkan 65 kertas kerja, masing-masing 17 secara dalam talian dan 48 secara bersemuka.
Daron berkata ICLALIS 2026 turut memperkukuh jaringan akademik serantau menerusi penglibatan penyampai ucaptama dari Taiwan dan Singapura, di samping memperkenalkan prakeluaran buku Negotiating Belonging in Borneo: Narratives of Ambivalence dalam siri Asia in Transition terbitan Springer.
“Melalui buku ini dan ICLALIS, kami berharap dapat meneruskan lebih banyak kerjasama yang memperkukuh jaringan akademik serantau, di samping memperluas kajian ilmiah mengenai Sabah dan Borneo,” katanya.

Kasim (tengah) dan Ismail (ketiga kanan) bersama penyampai ucaptama dari Taiwan, Prof. Dr. Siaw-Fong Chung dan Singapura, Prof. Dr. Chang-Yau Hoon (kedua dan ketiga kiri).