Oleh FARDY BUNGGA
SANDAKAN: Markas Wilayah Laut 2 (Mawilla 2) menerima empat bot pemintas laju (Fast Interceptor Craft (FIC) G2000 MkII, petang semalam.
Majlis penyerahan rasmi berlangsung di Bilik Mesyuarat Utama Mawilla 2 yang disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha Pembangunan, Datuk Mohd Shaiful Ibrahim.
Majlis turut menyaksikan upacara menandatangani dokumen serah terima di antara wakil Syarikat Gading Marine dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Dalam kenyataan yang dikeluarkan Cawangan Komunikasi Strategik Mawilla, FIC G2000 MkII ini dilengkapi dengan sistem persenjataan automatik, iaitu Remote Control Weapon Station (RCWS) dan senjata berkaliber 12.7mm Heavy Machine Gun (HMG).
Katanya, sistem itu membolehkan pengoperasian senjata jarak sederhana dengan ketepatan yang tinggi sekaligus meningkatkan keupayaan tempur serta keselamatan kru semasa operasi di lautan.
“Selain itu, bot ini mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 50 knot, menjadikannya sesuai untuk tugasan pintasan di kawasan perairan yang strategik.
“Keupayaan kelajuan tinggi ini diyakini dapat meningkatkan tindak balas dalam menangani ancaman di laut, khususnya di Wilayah Timur Sabah yang sering terdedah kepada risiko pencerobohan dan kegiatan jenayah rentas sempadan,” katanya.
Menurutnya, FIC G2000 MkII ini merupakan sebahagian daripada 13 bot baharu yang diperolehi TLDM secara berperingkat melalui tiga fasa.
Sebelum ini bagi Fasa Pertama, dua bot diserahkan secara rasmi kepada Mawilla 2 pada Februari 2024 dan menjadikan jumlah keseluruhan bot pemintas laju jenis ini di bawah kendalian Mawilla 2 kini sebanyak enam buah.
Kewujudan FIC G2000 MkII dapat meningkatkan keupayaan TLDM bagi mendepani pelbagai cabaran di lautan, di samping memperkukuh kesiapsiagaan dalam memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara.











