Oleh FARDY BUNGGA
TAWAU: Seorang lelaki ditahan selepas disyaki terlibat dalam kes cubaan merogol kanak-kanak di bandar Tawau, di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jamsin Hussin berkata, suspek pada awalnya ditangkap oleh orang awam kerana berkelakuan tidak senonoh dan mencurigakan.
Katanya, bertindak atas aduan awam, suspek kemudiannya ditahan polis peronda dari Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.
“Setibanya dilokasi, suspek yang berjaya ditangkap orang awam diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Siasatan awal mendapati, suspek berusia 31 tahun dan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan media, kelmarin.
Menurutnya, hasil pemeriksaan pada tubuh badan suspek tidak menemui sebarang kesalahan.
“Suspek kemudiannya dibawa balik ke IPD Tawau untuk ditahan reman bagi siasatan mengikut Seksyen 15(a)(2) Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak,” katanya.







