KOTA KINABALU: Polis Sabah mengesahkan sudah menerima sebanyak 13 laporan polis berhubung isu ucapan Ketua Umno Bahagian Sepang, Datuk Noorazli Said setakat ini.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, berkata semua laporan berkenaan sudah dirujuk kepada laporan polis awal yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kelana Jaya.
Katanya, ia bagi membolehkan siasatan dijalankan secara menyeluruh sebelum sebarang tindakan diambil pihak berkuasa.
“Sehingga tengah hari tadi, kita telah menerima sebanyak 13 laporan polis berkaitan dengan isu berkenaan.
“Semua laporan polis berkenaan telah kita rujuk kepada laporan polis awal yang dibuat di IPD Kelana Jaya dan siasatan dibuat sudah pihak berkuasa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Pembukaan Lawatan Awam ke Galeri Polis Negeri Sabah di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah.
Jauteh berkata, semua laporan polis berkenaan diterima daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk pemimpin setempat.
Sehubungan itu, Jauteh menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil sebarang tindakan berdasarkan emosi, terutama ketika isu berkenaan masih menjadi perhatian dan tular di media sosial.
“Memandangkan keadaan ini masih tular dalam media massa sekarang ini, kita mengharapkan supaya masyarakat melihat perkara ini secara matang.
“Laporan-laporan polis yang telah dibuat ini telah pun diambil tindakan oleh pihak PDRM khususnya untuk memastikan siasatan yang telus dibuat,” katanya.
Terdahulu, isu berkenaan mendapat perhatian umum apabila ucapan Noorazli yang dibuat di Perhimpunan Agung Umno (PAU) baharu-baharu ini yang didakwa membuat jenaka mengaitkan paderi dan biarawati Kristian.
Rakaman berkenaan tular di media sosial sejak beberapa hari lalu sehingga menimbulkan pelbagai reaksi umum sehingga membawa kepada puluhan laporan polis dibuat di seluruh negara.

TINJAU … Jauteh meninjau bahan-bahan bersejarah yang dipamerkan di Galeri Polis Negeri Sabah.







