PPM Rampas Rokok dan Minuman Keras Bernilai RM5.36 Juta

Oleh FARDY BUNGGA


KOTA KINABALU: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah berjaya mematahkan cubaan menyeludup rokok dan minuman keras bernilai keseluruhan RM5.36 juta dalam tiga operasi di dua lokasi berasingan, baru-baru ini.
Operasi bersepadu pertama yang dijalankan bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya membongkar kegiatan penyeludupan rokok tidak bercukai di Sungai Seguntur, Sandakan.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, bertindak atas maklumat dan risikan, pihaknya menyerbu sebuah jeti tidak berdaftar kira-kira jam 1.30 pagi, 15 September lalu.
Katanya, hasil pemeriksaan, pasukan operasi berjaya menahan seorang lelaki berusia 45 tahun dan merampas 1.82 juta batang rokok tidak bercukai pelbagai jenama yang dipercayai diseludup masuk dari negara jiran.
“Turut dirampas sebuah lori tiga tan, bot laju serta tiga unit enjin sangkut Yamaha 200 kuasa kuda yang dianggarkan bernilai RM2.56 juta.
“Hasil maklumat susulan, pasukan serbuan berjaya mengesan sebuah lagi bot laju yang disembunyikan di celah pokok bakau di kawasam berhampiran.
“Pemeriksaan menemukan sebuah bot dilengkapi tiga unit enjin sangkut Yamaha 200 kuasa kuda serta muatan sebanyak 1,730,000 batang rokok tidak bercukai pelbagai jenama,” katanya dalam kenyataan media, semalam.
Menurutnya, semua bot dan barangan rampasan yang dianggarkan bernilai keseluruhan sebanyak RM4.89 juta itu terus dibawa ke Jeti Markas Operasi PPM Sandakan untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, pada Isnin lalu, PPM Sabah turut berjaya merampas minuman keras yang dianggarkan bernilai RM478,506 di sebuah gudang di Kampung Dambai, Jalan Tuaran Bypass, Kota Kinabalu.
Ahmad Amri berkata, hasil pemeriksaan pasukan operasi menemukan sebanyak 1,800 karton minuman keras disyaki tidak bercukai.
Katanya, kejayaan ketiga-tiga serbuan itu menjadikan jumlah keseluruhan rampasan kontraban oleh PPM Wilayah 4 Sabah bernilai RM5.36 juta.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 135(1)(e) akta sama.
“Untuk rekod, bagi tempoh Januari hingga 15 September lalu, PPM Sabah telah merekodkan sebanyak 61 kes di bawah Akta Kastam 1967, melibatkan nilai rampasan keseluruhan RM8.38 juta serta 40 tangkapan,”’katanya.
Menurutnya, PPM Sabah akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan, memperkukuh perkongsian maklumat dan mempertingkatkan kerjasama antara agensi bagi memastikan kegiatan penyeludupan dapat dibanteras secara berterusan demi keselamatan serta kepentingan negara.

Rokok seludup yang berjaya dirampas selepas dikesan cuba dibawa masuk dari negara jiran.

    PPM turut berjaya merampas 1,800 karton minuman keras pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai RM478,506.