KOTA KINABALU: Esscom terus memperkukuh kehadiran pasukan keselamatan di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone) menerusi Operasi Omni Presence di sekitar bandar Lahad Datu pada 25 Jun 2026.
Komander Esscom, Deputi Komisioner Polis Datuk Victor B Sanjos berkata, operasi itu dilaksanakan sebagai usaha berterusan Esscom dalam memastikan pematuhan undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa di ESS Zone, di samping membanteras kehadiran Pendatang Tanpa Izin (PATI), mengekang aktiviti ekonomi tidak sah serta memperkukuh keselamatan dan ketenteraman awam.
“Operasi ini dilaksanakan sebagai Show Of Force bahawa Esscom tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan melanggar undang-undang sehingga menjejaskan keselamatan, ekonomi dan kesejahteraan masyarakat di ESS Zone.
“Operasi Omni Presense ini melibatkan 53 pegawai dan anggota. Sepanjang operasi ini, pemeriksaan dokumen telah dijalankan ke atas premis-premis perniagaan dan 342 orang awam yang berada di sekitar bandar dan sebanyak 75 bungkus rokok seludup pelbagai jenis serta 19 mancis Aladdin turut dirampas dengan anggaran jumlah rampasan sebanyak RM800,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, operasi itu membuktikan komitmen Esscom dalam memastikan kehadiran pasukan keselamatan sentiasa dirasai masyarakat melalui rondaan, pemantauan dan pemeriksaan secara berterusan.
Menurutnya, pendekatan itu bukan sahaja meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap tahap keselamatan, malah memberi mesej pencegahan kepada mana-mana pihak yang berhasrat melakukan aktiviti menyalahi undang-undang di ESS Zone.
Katanya, kehadiran berterusan pasukan keselamatan Esscom turut memberi jaminan kepada masyarakat setempat, pelabur dan pelancong bahawa tahap keselamatan di ESS Zone sentiasa di pantau dan berada dalam keadaan terkawal.
“Operasi ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan Madani melalui Operasi Sanggah Esscom bagi memperkukuh operasi keselamatan sedia ada di bawah PDRM, ATM dan APMM selain membantu jabatan dan agensi penguatkuasaan Persekutuan serta Negeri dalam memastikan pematuhan undang-undang di ESS Zone.
“Sejajar dengan hasrat Esscom iaitu ‘Tiada Hari Tanpa Operasi’, agensi ini akan terus memperhebat operasi bersepadu bagi mengekang sebarang elemen jenayah rentas sempadan serta memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di Sabah Timur kekal selamat dan terkawal.
“Orang ramai diseru untuk menyalurkan maklumat berkaitan sebarang insiden keselamatan di ESS Zone kepada Pusat Operasi ESSCOM di talian 089-863181 atau melalui WhatsApp di talian 011-63311072,” katanya.

OPERASI …. Pasukan keselamatan sentiasa melakukan operasi untuk mengekalkan keselamatan.







