Gagasan Rakyat sedia hadapi PRU16

Fokus calon berwibawa di Tawau – Nizam

Oleh JOHN TAMBANAN


TAWAU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menegaskan kesiapsiagaan penuh dalam mendepani Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), dengan tumpuan strategik diberikan kepada pemilihan calon berpotensi di kawasan Tawau.
Ketua Penerangannya, Nizam Abu Bakar Titingan, memaklumkan bahawa pihaknya telah mengemukakan tiga nama kepada pucuk pimpinan sebagai langkah awal dalam proses penilaian dan pemilihan calon.
Menurut beliau, pendekatan tersebut merupakan sebahagian daripada kerangka perancangan tersusun bagi memastikan calon yang dipilih benar-benar selari dengan kehendak rakyat serta mampu menterjemahkan aspirasi kerajaan perpaduan secara efektif di peringkat akar umbi.
“Calon yang diketengahkan mestilah diterima rakyat dan berupaya memberikan perkhidmatan terbaik kepada komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Rumah Terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri di Dewan Masyarakat Tawau.
Dalam masa sama, Nizam yang juga Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah menegaskan bahawa jentera parti terus bergerak secara konsisten dan progresif, meskipun selepas berakhirnya Pilihan Raya Negeri Sabah sebelum ini.
Tambah beliau, momentum gerak kerja tersebut mencerminkan komitmen berterusan parti dalam memperkukuh kepercayaan rakyat serta memperluas impak perkhidmatan kepada masyarakat.
Beliau turut menyuarakan keyakinan bahawa rakyat akan terus memberikan mandat kepada kerajaan negeri di bawah pimpinan Hajiji Noor, selaras dengan aspirasi pembangunan dan kestabilan yang dibawa.

Nizam Abu Bakar Titingan.