Oleh JOHN TAMBANAN
TAMBUNAN: Peserta Kursus Penternakan USA Bullfrog digesa memanfaatkan peluang dengan menimba ilmu sebanyak mungkin sebagai bekalan menceburi bidang keusahawanan.
Timbalan Pengerusi Sawit Kinabalu Sdn Bhd dan Borneo Samudera Sdn Bhd, Dato’ Victor P. Paut, berkata tanpa ilmu dan kemahiran, bakal usahawan akan ketinggalan serta sukar bersaing, lebih-lebih lagi dalam era digitalisasi yang berkembang pesat.
“Saya yakin dalam kalangan peserta kursus hari ini akan lahir usahawan berjaya dalam bidang penternakan ini.
“Mungkin hari ini kita hadir sebagai peserta, namun suatu hari nanti kita akan menjadi inspirasi kepada orang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kursus Penternakan USA Bullfrog Secara Komersial di Dewan Pinsompuron, Kampung Tondulu, pada Isnin.
Menurutnya, peserta perlu menjadikan usahawan berjaya sebagai rujukan dan sumber pembelajaran kerana pengalaman mereka adalah kunci kejayaan.
“Jika kita ingin berjaya, kita mesti belajar daripada mereka yang telah berjaya. Perhatikan bagaimana mereka bermula, bagaimana mereka berusaha, dan paling penting bagaimana mereka tidak pernah berputus asa.
“Jadikan kejayaan orang lain sebagai motivasi, bukan alasan untuk kita berhenti mencuba,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan kepentingan sikap berdikari serta keberanian dalam menghadapi cabaran perniagaan.
“Usahawan perlu berani mencuba, berani mengambil risiko dan berani berubah. Inilah mentaliti yang perlu dibina jika benar-benar mahu berjaya,” katanya.
Kursus sehari itu disertai seramai 50 peserta terdiri daripada ketua cawangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian Tambunan.
Victor yang juga Ketua Bahagian PGRS Tambunan berharap semua ahli parti di kawasan itu mampu mencapai kejayaan, khususnya dalam aspek ekonomi.
Katanya, peranan ketua cawangan bukan sahaja sebagai pemimpin organisasi, malah sebagai contoh dan teladan kepada masyarakat setempat.
“Sebab itu kursus penternakan USA Bullfrog ini bukan sekadar program biasa, tetapi satu platform untuk melengkapkan diri dengan ilmu ekonomi.
“Kita perlu berubah daripada hanya bercakap soal politik kepada turut menguasai bidang ekonomi,” katanya.

KENANGAN …. Victor (tengah) bergambar bersama penganjur dan peserta Kursus Penternakan USA Bullfrog Secara Komersial di Dewan Pinsompuron, Kampung Tondulu, pada Isnin.






