Oleh FARDY BUNGGA
PENAMPANG: Seorang lelaki maut dalam kejadian kemalangan jalan raya melibatkan kereta dan motosikal di Kilometer 17, Jalan Kota Kinabalu–Papar, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, mangsa berusia 47 tahun dilaporkan mengalami kecederaan parah manakala motosikal ditunggangnya turut terbakar.
Pemangku Ketua Polis Daerah Penampang, Asisten Superintendan Arisanti Aziz, berkata siasatan awal mendapati kenderaan terlibat ialah Perodua Viva yang dipandu seorang lelaki berusia 22 tahun.
Katanya, lelaki terbabit dikatakan dalam perjalanan dari arah Kota Kinabalu menuju ke Papar sebelum dipercayai tiba-tiba hilang kawalan.
“Akibat kejadian berkenaan, pemandu kenderaan terus merempuh motosikal mangsa sehingga terbakar.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa dikatakan tercampak ke atas jalan sehingga mengalami kecederaan parah,” katanya dalam kenyataan media, kelmarin.
Menurutnya, mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Queen Elizabeth (HQE), Kota Kinabalu.
“Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik HQE untuk proses bedah siasat,” katanya.
Arisanti berkata, pihak polis sudah menahan pemandu kereta bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, Arisanti menggesa mana-mana saksi kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Saparia Ladoni di talian 019-809 5133.
“Polis turut mengingatkan orang ramai agar tidak menyebarkan gambar di lokasi kejadian bagi menghormati sensitiviti keluarga mangsa,” katanya.

Motosikal yang ditunggang mangsa terbakar sejurus selepas kemalangan.

Keadaan kereta yang remuk selepas merempuh mangsa.







