Oleh JOHN TAMBANAN
TELUPID: Kerajaan mengambil langkah proaktif dan bersifat “rapid response” bagi menstabilkan pasaran beras di Sabah dengan meningkatkan kuota bekalan kepada 35,000 tan metrik bulan ini susulan fenomena pembelian panik yang mencetuskan gangguan rantaian bekalan.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI), Datuk Jamawi Jaafar berkata, isu kekurangan bekalan ketika ini bukan semata-mata berpunca daripada kekangan pengeluaran, sebaliknya turut dipengaruhi kegagalan pemborong mengeluarkan stok yang telah dibeli.
Menurut beliau, kira-kira 3,000 tan metrik beras yang telah dibayar masih belum diambil dan tersimpan di stor Bernas, sekali gus menjejaskan kelancaran pengedaran kepada pengguna.
“Saya minta pemborong segera menyediakan keperluan logistik seperti lori untuk mengeluarkan bekalan yang telah ditempah. Kita tidak mahu wujud elemen manipulasi atau sabotaj yang boleh menjejaskan kestabilan harga.
“Hakikatnya, tiada kenaikan harga kerana subsidi Kerajaan masih kekal,” katanya.
Dalam masa sama, MAFFI memperketat pemantauan dengan melaksanakan audit menyeluruh terhadap pemborong yang disyaki menyorok atau menyeleweng bekalan beras subsidi.
Jamawi berkata, tindakan tegas itu diambil susulan gangguan bekalan yang memberi kesan langsung kepada rakyat serta kegagalan beberapa pemborong untuk hadir dalam sesi siasatan.
“Kita sedang mengumpul bukti melalui audit ini. Sekiranya didapati bersalah, pemegang lesen boleh dikenakan denda minimum RM50,000 serta hukuman penjara.
“Penguatkuasaan akan dilaksanakan tanpa kompromi kerana isu ini melibatkan kesejahteraan rakyat,” tegasnya.
Sebagai langkah kawalan jangka pendek, Kerajaan turut mengehadkan pembelian kepada dua kampit beras bagi setiap individu bagi memastikan pengagihan lebih saksama.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sesi libat urus di ladang padi Trusan Sapi, di sini, kelmarin.
Mengulas lanjut, Jamawi menegaskan Kerajaan komited memastikan stok simpanan beras negeri kekal mencukupi sekurang-kurangnya untuk tempoh enam bulan sebagai “buffer strategy” menghadapi ketidaktentuan pasaran global.
Pada masa sama, beliau mengingatkan peniaga agar tidak mengambil kesempatan terhadap subsidi yang disediakan, terutama dalam suasana harga beras di negara jiran yang meningkat akibat tekanan krisis global.
“Keutamaan kita jelas—menjamin kestabilan bekalan makanan dan melindungi kepentingan pengguna,” katanya.

PENERANGAN …. Jamawi memberikan penerangan kepada para peserta dalam sesi libat urus berkenaan.






