10 lembu korban untuk Liawan, cerminan kepimpinan prihatin, perpaduan masyarakat

KENINGAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Nik Mohd Nadzri Nik Hj Zawawi menyumbangkan sebanyak 10 ekor lembu bagi ibadah korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha 1447 Hijrah, sekali gus membawa kegembiraan kepada masyarakat Islam di kawasan N.41 Liawan.
Program sumbangan korban itu dilihat bukan sahaja membantu melancarkan urusan ibadah korban dan pengagihan daging kepada golongan memerlukan, malah menjadi simbol semangat kebersamaan serta keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di kawasan pedalaman Keningau.
Nik Mohd Nadzri berkata, tahun ini merupakan tahun pertama beliau diberi amanah sebagai wakil rakyat Liawan dan beliau amat bersyukur kerana dapat berkongsi rezeki bersama masyarakat setempat sempena Aidiladha.
“Bersempena sambutan Hari Raya Aidiladha tahun 2026, saya amat berbesar hati dapat menyantuni masyarakat Islam di kawasan N.41 Liawan.
“Sebagai tahun pertama saya diberi amanah sebagai wakil rakyat, saya bersyukur kerana dapat menyumbangkan 10 ekor lembu korban untuk diagihkan di kawasan Liawan,” katanya dalam perutusan Aidiladha.
Beliau, yang juga Pengerusi MUIS Holdings Sdn Bhd berkata, Aidiladha membawa pengertian besar dalam menghayati nilai pengorbanan, keikhlasan dan memperkukuh ikatan persaudaraan sesama masyarakat.
Menurut beliau, sumbangan itu diharap dapat membantu kariah melaksanakan ibadah korban dengan lebih teratur selain membawa kegembiraan kepada golongan yang memerlukan.
Dalam masa sama, beliau turut menekankan bahawa keunikan masyarakat Keningau yang hidup dalam kepelbagaian kaum dan agama terus menjadi kekuatan utama dalam membina perpaduan serta keharmonian masyarakat.
Katanya, budaya saling menghormati, bekerjasama dan hidup dalam suasana aman perlu terus dipelihara kerana nilai itulah yang menjadi asas kekuatan rakyat di kawasan pedalaman Sabah.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan urusan korban dan pengagihan sumbangan tahun ini.
Di sebalik sumbangan 10 ekor lembu, terserlah satu mesej yang lebih besar bahawa kepimpinan yang dekat dengan rakyat bukan hanya diukur melalui kata-kata, tetapi melalui kehadiran, sentuhan dan tindakan yang benar-benar dirasai masyarakat di akar umbi.-Oleh John Tambanan.

SERAH …. Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Liawan Rayner James (kanan) mewakili Mohd Nik Nadzri semasa penyerahan lembu korban kepada salah seorang jemaah masjid di DUN Liawan.