Oleh JAMES LEONG
SANDAKAN: Sembilan individu berdepan tindakan undang-undang dalam tiga kes berasingan di Sandakan dan Tawau membabitkan sambungan elektrik haram, penyalahgunaan jawatan serta kesalahan seksual terhadap kanak-kanak.
Di Sandakan, tiga individu iaitu Bilma Kasim, Norsan Dekeh dan Emeng Lajim masing-masing dijatuhi hukuman penjara sebulan oleh Mahkamah Sesyen pada 18 November lalu kerana melakukan sambungan elektrik haram di Kampung Kagayan.
Enam individu lain pula dikenakan denda keseluruhan RM20,600 atas kesalahan berkaitan bekalan elektrik mengikut Enakmen Bekalan Elektrik Sabah 2024.
Empat daripada mereka didenda antara RM2,500 hingga RM2,800 kerana sambungan elektrik haram, manakala Chau Tsun Lun dan Chong Pui Yii masing-masing didenda RM5,000 kerana menggunakan elektrik secara tidak jujur di kediaman mereka di Taman Astana Height. Semua denda telah dijelaskan.
Dalam kes berasingan di Tawau, seorang guru besar berusia 58 tahun, Mohd Hussin Mosten mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan menyalahgunakan jawatannya bagi memperoleh suapan berjumlah RM7,330 berkaitan pembekalan bahan makanan basah dan kering kepada prasekolah Sekolah Kebangsaan (SK) Kabogan, Semporna.
Tertuduh didakwa meluluskan dua pesanan kerajaan bernilai RM3,826 dan RM3,504 kepada Syami Enterprise bagi pembekalan bahan makanan yang didakwa dibekalkan sendiri olehnya.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan syarat tambahan melaporkan diri kepada SPRM setiap bulan, menyerahkan pasport dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Pengurusan kes ditetapkan pada 14 Januari 2027, manakala perbicaraan dijadualkan pada 25 dan 26 Februari 2027.
Sementara itu, seorang lelaki warga Indonesia berusia 31 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Tawau atas pertuduhan merogol anak tirinya berusia sembilan tahun di sebuah kuarters pekerja di Kampung Ranggu kira-kira tengah malam pada 19 Januari lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara lapan hingga 30 tahun serta sebatan sekurang-kurangnya 10 kali jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 11 Januari 2027 untuk sebutan semula bagi membolehkan pihak pendakwaan melengkapkan fakta kes dan bahan bukti sebelum hukuman dijatuhkan.
Tertuduh diperintahkan kekal di Penjara Tawau sementara menunggu prosiding seterusnya.

Bangunan Mahkamah Sandakan.







