Oleh JOHN TAMBANAN
SANDAKAN: Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Sibuga, Datuk Suhaimi Nasir, menegaskan komitmennya untuk memperjuangkan penubuhan kampus Universiti Kuala Lumpur (UniKL) di Sandakan sebagai agenda utama bagi memperkukuh hab pendidikan di Sabah Timur.
Beliau berkata cadangan mewujudkan UniKL bukan sekadar penambahan institusi pendidikan, tetapi suatu intervensi strategik yang mampu merangsang mobiliti sosial, pertumbuhan ekonomi dan pembangunan modal insan secara lebih menyeluruh.
“Ini bukan masa untuk menunggu limpahan pembangunan dari luar, sebaliknya masa untuk mengemudi sendiri agenda pendidikan dan transformasi wilayah.
“Penubuhan UniKL wajar kerana Sandakan sudah lama berfungsi sebagai hab pendidikan di negeri ini,” katanya ketika menghadiri majlis ramah mesra di PPR Taman Murni, di sini.
Menurutnya, langkah itu turut mendapat sokongan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, yang mengiktiraf cadangan tersebut sebagai usaha tepat dalam memperkukuh ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Sabah.
Suhaimi berkata kesediaan MARA mempertimbangkan cadangan berkenaan memberi petanda jelas bahawa Sandakan berada di kedudukan strategik untuk menjadi pusat kecemerlangan pendidikan tinggi dan TVET bagi Sabah Timur.
Beliau menegaskan bahawa Sandakan sangat memerlukan institusi pendidikan tinggi berskala nasional untuk menutup jurang akses pembelajaran berkualiti.
Tanpa kewujudan institusi seperti UniKL, katanya, golongan muda akan terus berhijrah bagi melanjutkan pengajian dan keadaan itu mengekalkan ekonomi tempatan dalam kelompok tenaga kerja sederhana.
Sabah Timur, jelasnya, memiliki sektor-sektor strategik seperti perladangan, perikanan, agroteknologi, logistik dan biodiversiti yang memerlukan tenaga kerja mahir, profesional serta berupaya memimpin industri baharu.
“Dengan adanya UniKL, kita dapat membentuk hubungan simbiotik antara akademia dan industri, sekali gus mewujudkan ekosistem pendidikan berasaskan permintaan, bukan sekadar menghasilkan graduan tanpa hala tuju,” katanya.
Suhaimi menegaskan cadangan itu bukan janji politik, tetapi strategi pembangunan berasaskan data, analisis dan keperluan sebenar wilayah.
“Wilayah tanpa institusi ilmu ialah wilayah tanpa masa depan. Dengan UniKL di Sandakan, kita membina masa depan yang lebih besar daripada diri kita sendiri,” katanya.




