Oleh JOHN TAMBANAN
KOTA KINABALU: Kerajaan akan terus memperkukuh aspek kawalan dan penguatkuasaan terhadap mekanisme penggunaan fleet card dalam penyaluran subsidi bahan api menerusi Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dan Skim Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS).
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, langkah itu termasuk memperkukuh kerangka perundangan berkaitan kawal selia barang kawalan bersubsidi.
Beliau berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kini sedang merangka cadangan penggubalan peraturan khusus di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mewujudkan kerangka perundangan yang lebih jelas, menyeluruh dan teratur untuk pelaksanaan, pengawalseliaan serta penguatkuasaan penggunaan fleet card.
“Antara aspek yang akan diberi perhatian termasuk tanggungjawab pemegang fleet card dan syarikat minyak, selain memperincikan kesalahan serta hukuman bagi sebarang bentuk penyalahgunaan subsidi.
“Tindakan ini diambil susulan kewujudan pelbagai modus operandi melibatkan ketirisan dan penyelewengan diesel serta petrol melalui penyalahgunaan fleet card,” katanya pada sidang media di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, Sabtu.
Armizan berkata, sejak 2023 hingga 14 Mei 2026, sebanyak 223 fleet card di bawah pelaksanaan SKDS dan SKPS telah disekat.
Menurut beliau, KPDN akan terus memperkukuh pemantauan dan penguatkuasaan di peringkat lapangan, dan mana-mana pihak yang didapati menyalahgunakan fleet card bagi tujuan penyelewengan subsidi diesel dan petrol akan dikenakan tindakan tegas.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata pelaksanaan penyaluran subsidi diesel bagi sektor pengangkutan darat barangan menerusi SKDS akan diperluaskan ke Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Katanya, fasa awal peluasan itu melibatkan permohonan pendaftaran SKDS bagi syarikat sektor pengangkutan darat barangan di ketiga-tiga wilayah bermula 4 Mei lalu.
“Permohonan untuk mendapatkan manfaat subsidi diesel bagi sektor pengangkutan boleh dibuat melalui portal MySubsidi di pautan mysubsidi.kpdn.gov.my.
“Di bawah pelaksanaan semasa SKDS, sebanyak 23 kategori kenderaan pengangkutan darat barangan layak menikmati subsidi diesel dengan kadar harga RM2.15 seliter,” katanya.

SIDANG MEDIA …. Armizan ketika mengadakan sidang media di SICC, Kota Kinabalu, pada Sabtu.




