Oleh FARDY BUNGGA
KOTA KINABALU: Polis berjaya menahan empat penjenayah dan menyelesaikan sekurang-kurangnya dua kes dalam satu operasi khas di sekitar bandar raya, Isnin lalu.
Semua penjenayah yang dikenali sebagai ‘Geng Amy’ itu dipercayai aktif melakukan kegiatan jenayah pecah rumah di sekitar Kota Kinabalu, sejak awal tahun ini.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, pihaknya menerima dua laporan pecah rumah yang berlaku di kawasan Luyang dan Jalan Penampang.
Katanya, mengikut laporan kedua-dua mangsa, kes melibatkan kehilangan wang tunai, beberapa barang kemas, telefon bimbit dan lain-lain barang yang dianggarkan kerugian secara keseluruhan mencecah RM10,000.
“Laporan polis yang dibuat oleh dua individu berasingan itu mendakwa kediaman mereka telah dimasuki sekumpulan suspek.
“Hasil siasatan dan risikan berterusan, seorang suspek berjaya ditahan pada jam 3.40 petang, 19 Mei lalu di Jalan Gaya, di sini.
“Lelaki tempatan itu ditahan bersama beberapa barang kes yang dipercayai hasil kegiatan jenayah pecah rumah iaitu satu hardisc, satu kuku kambing yang dipercayai alat yang digunakan untuk pecah rumah selain pakaian yang dipakai oleh suspek semasa melakukan jenayah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, di sini.
Kasim berkata, susulan penahanan itu, polis terus melaksanakan beberapa siri serbuan agresif secara berasingan dan berjaya menahan tiga lagi individu pada hari sama, hasil pendedahan suspek pertama.
Katanya, polis turut berjaya merampas barang kes sebuah telefon bimbit jenama Honor 200 dan turut dirampas sebuah kenderaan jenis Perodua Bezza yang dipercayai digunakan oleh kumpulan ini semasa kejadian.
“Hasil semakan, suspek pertama didapati mempunyai rekod kesalahan lampau antaranya kes pecah rumah, kes samun, kes curi kabel dan kes penyalahgunaan dadah sejak tahun 2017 dan pernah menjalani hukuman penjara bagi kes samun.
“Manakala suspek ketiga dan keempat masing-masing mempunyai 26 dan 16 kes melibatkan pelbagai jenayah sejak beberapa tahun lampau.
“Kumpulan ini didapati bergiat aktif dalam melakukan jenayah pecah rumah di sekitar Kota Kinabalu, Penampang, Papar, Kudat dan Sandakan selain terlibat dalam kes jenayah lain termasuk penyalahgunaan dadah.
“Modus operandi kumpulan ini dengan menyasarkan kawasan perumahan yang sunyi dan bergerak dalam tiga hingga empat orang dengan menaiki kenderaan yang disewa semasa melakukan jenayah pecah rumah.
“Semua suspek mengaku terlibat dalam kes ini dan kini ditahan reman untuk siasatan lanjut. Hasil ujian air kencing dua suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine manakala dua lagi negatif dadah,” katanya:
Kasim berkata, dengan tertangkapnya empat suspek berkenaan telah menjurus kepada penyelesaian dua kes jenayah pecah rumah yang dilaporkan sebelum ini.
Katanya, siasatan lanjut akan diteruskan bagi mengenalpasti penglibatan kumpulan ini dalam kegiatan jenayah yang lain termasuk di daerah luar.
“Buat masa ini, pihak polis masih meneruskan siasatan dan sedang giat untuk mengesan seorang lagi rakan kumpulan ini yang masih bebas yang dikenali dengan nama panggilan ‘Pindil’, dan percaya suspek akan berjaya diberkas dalam masa terdekat,”tegasnya.









