SANDAKAN: Seorang pengusaha kedai runcit maut selepas sebuah rumah dan kedai musnah dalam kebakaran di Kampung Batu Putih, di sini, awal pagi Ahad.
Mangsa, Mohammad Zarman Salamat, 30, ditemukan rentung pada kira-kira jam 6 pagi sebelum mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Jimmy Lagung, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.56 pagi dan sebuah jentera bersama anggota tiba di lokasi yang terletak kira-kira sembilan kilometer dari balai pada jam 5.05 pagi.
Katanya, kebakaran memusnahkan sepenuhnya sebuah rumah kayu berkeluasan 60 x 40 kaki persegi dan sebuah kedai berukuran 15 x 40 kaki persegi.
“Api berjaya dikawal pada jam 5.24 pagi dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.30 pagi selepas pasukan bomba memastikan tiada lagi bahaya di lokasi,” katanya.
Operasi pemadaman melibatkan 12 anggota Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan yang diketuai PBK I Haris Mustapha, dengan bantuan tiga anggota polis serta enam anggota Rela.
Sementara itu, di Tawau polis menahan dua wanita berusia 19 dan 20 tahun yang disyaki terbabit dalam pergaduhan serta melakukan khianat terhadap harta benda di sebuah restoran di Bandar Fajar.
Kedua-dua suspek disiasat mengikut Seksyen 160 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan. Seorang daripada mereka yang merupakan warga asing tanpa dokumen perjalanan sah turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Sementara itu, polis turut menahan seorang lelaki berusia 26 tahun kerana disyaki melakukan ugutan jenayah menggunakan senjata tajam terhadap bekas isterinya dalam pertikaian berkaitan anak mereka di Kampung Kurnia Jaya.
Hasil semakan mendapati suspek juga merupakan warga asing yang tinggal secara haram di negara ini dan turut disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63, selain Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Wilynton Enchana Watt, berkata tindakan pantas menahan semua suspek membuktikan komitmen polis daerah dalam memastikan keselamatan awam terus terpelihara.
Beliau turut menggesa orang ramai agar terus menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah bagi memastikan keharmonian dan kesejahteraan masyarakat sentiasa terjamin.

OPERASI …. Anggota bomba berusaha memadam kebakaran yang memusnahkan sebuah rumah dan kedai di Kampung Batu Putih, Sandakan, pada Ahad.







