Penunggang Maut Tercampak Ke Dalam Parit

KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas sebelum melanggar penghadang jalan, menyebabkan dia tercampak ke dalam parit sedalam kira-kira lima meter di Jalan Tuaran, berhampiran sebuah taman perumahan, di sini, awal pagi Selasa.
Mangsa berusia 37 tahun mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Queen Elizabeth II (HQE II), namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan pada jam 2.31 pagi.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain, berkata kemalangan berlaku kira-kira jam 1 pagi ketika mangsa menunggang motosikal dari arah Karamunsing menuju ke Inanam.
Katanya, siasatan awal mendapati motosikal ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan akibat dipandu laju sebelum terbabas ke kiri jalan.
“Motosikal kemudian melanggar penghadang jalan di sebelah kiri menyebabkan mangsa tercampak ke dalam parit sedalam kira-kira lima meter.
“Motosikal mangsa pula tercampak dan berada di atas jalan raya,” katanya dalam kenyataan, kelmarin.
Shahrudin berkata, mangsa yang mengalami kecederaan parah kemudian dibawa ke HQE II untuk mendapatkan rawatan sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 2.31 pagi.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Royston Ubak di talian 016-3130153 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.
Sementara itu, tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas turut membantu mengeluarkan mangsa yang tidak sedarkan diri dari dalam parit menggunakan pengusung.
Mangsa diberikan rawatan awal oleh pasukan bomba sebelum dihantar ke HQE II untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Shahrudin turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa memandu dengan cermat dan berhemah serta mematuhi peraturan lalu lintas bagi memastikan keselamatan diri dan pengguna jalan raya lain.

OPERASI … Pasukan bomba membantu mengeluarkan mangsa yang tidak sedarkan diri dari dalam parit menggunakan pengusung.