Oleh FARDY BUNGGA
PENAMPANG: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang menafikan dan memandang serius penularan infografik bertajuk ‘Laporan Tangkapan Kes Khianat’ di media sosial.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, infografik berkenaan adalah palsu, tidak sahih dan bukan dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Katanya, kandungan berkenaan menggunakan logo rasmi PDRM dengan format penyampaian dan memaparkan gambar serta maklumat individu tanpa kebenaran bagi mengelirukan orang ramai.
“Perbuatan menghasilkan, memiliki, memuat naik, berkongsi atau menyebarkan kandungan palsu sedemikian merupakan satu tindakan yang tidak bertanggungjawab.
“Tindakan itu boleh menjejaskan integriti PDRM, mengganggu ketenteraman awam dan mencemarkan nama baik individu yang terlibat,” katanya dalam kenyataan media, kelmarin.
Menurutnya, IPD Penampang tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kekeliruan, salah faham, kerosakan reputasi atau apa-apa implikasi yang timbul akibat penyebaran infografik palsu berkenaan.
Katanya, mana-mana individu yang didapati terlibat dalam penerbitan atau penyebaran kandungan berkenaan akan disiasat dan diambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang.
“Siasatan boleh dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] kerana menggunakan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi bagi penyebaran kandungan yang bersifat palsu atau jelik.
“Siasatan juga boleh dijalankan mengikut Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611], sekiranya penyebaran tersebut melibatkan gambar, identiti atau maklumat seorang kanak-kanak yang dilindungi di bawah undang-undang,” katanya.
Sehubungan itu, Sammy mengingatkan orang ramai supaya tidak menjadi ejen penyebaran maklumat yang belum dipastikan kesahihannya.
“Sebarang maklumat berkaitan siasatan atau tindakan polis hanya akan disalurkan melalui saluran komunikasi rasmi Polis Diraja Malaysia
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai individu yang menghasilkan atau menyebarkan infografik palsu ini diminta menyalurkannya kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Penampang bagi membantu siasatan,” tegasnya.

Infografik palsu menggunakan logo polis dikesan tular di media sosial.





