Ewon alu-alukan kerjasama strategik perkukuh industri maritim Sabah

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ewon Benedick mengalu-alukan kerjasama strategik antara Eastport Marine Sdn Bhd, BMM Marine Services Sdn Bhd dan KCCI Venture Sdn Bhd yang disifatkan mampu memperkukuh industri maritim Sabah serta meningkatkan penawaran perkhidmatan sokongan kepada sektor berkenaan.
Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan itu berkata, kerjasama tiga syarikat tempatan berkenaan mencerminkan komitmen sektor swasta dalam memperkukuh sinergi industri, sekali gus meningkatkan kecekapan dan kualiti perkhidmatan sejajar dengan aspirasi Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 serta Wawasan Sabah First.
“Saya mengalu-alukan kerjasama seperti ini antara pemain industri tempatan. Mudah-mudahan pemeteraian ini memberi manfaat bukan sahaja kepada ketiga-tiga syarikat terbabit, malah kepada industri maritim Sabah dan sektor berkaitan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara ketiga-tiga syarikat di Wisma Perindustrian, di sini, semalam.
Ewon berkata, kementeriannya sentiasa menyokong kerjasama strategik yang mampu memenuhi keperluan industri yang semakin berkembang, khususnya di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).
Menurutnya, pemeteraian MoA itu bukan sekadar perjanjian perniagaan, malah mencerminkan keyakinan pemain industri terhadap potensi Ekonomi Biru Sabah yang terus berkembang.
Katanya, Sabah kini berada pada landasan pertumbuhan perindustrian yang positif dengan pelaburan dalam sektor kargo pukal kering, minyak dan gas, petrokimia, logistik, tenaga boleh baharu serta Ekonomi Biru yang dijangka meningkatkan permintaan terhadap pelbagai perkhidmatan sokongan maritim.
“Antara perkhidmatan yang semakin diperlukan ialah perkhidmatan tunda pelabuhan, logistik maritim luar pesisir, pengendalian dan pemanduan kapal, perkhidmatan tambatan serta keupayaan tindak balas kecemasan yang memerlukan profesionalisme, kepakaran teknikal dan pematuhan standard keselamatan yang tinggi,” katanya.
Beliau berkata, kolaborasi antara Eastport Marine, BMM Marine Services dan KCCI Venture menjadi contoh kerjasama strategik yang wajar diperluaskan bagi memperkukuh ekosistem maritim negeri.
Katanya, ekosistem maritim yang bersepadu meliputi infrastruktur pelabuhan moden, penyedia perkhidmatan yang berdaya saing, tenaga kerja mahir tempatan serta kerjasama erat antara kerajaan dan sektor swasta penting bagi meningkatkan daya saing Sabah sebagai hab maritim serantau.
Beliau berharap kerjasama itu dapat dilaksanakan secara produktif dan berkekalan, sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah serta menyumbang kepada pertumbuhan berterusan industri maritim serta minyak dan gas di negeri ini.-John Tambanan.

MOA …. Ewon (tengah) menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara Eastport Marine Sdn Bhd, BMM Marine Services Sdn Bhd dan KCCI Venture Sdn Bhd di Wisma Perindustrian, Kota Kinabalu, semalam.