Oleh FARDY BUNGGA
PENAMPANG: Seorang penunggang motosikal maut selepas terbabas dalam kejadian kemalangan sendiri di Jalan Sapulut-Tambunan berhampiran Kampung Notorus, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, lelaki berusia 41 tahun terbabit disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di badan dan kepala.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, berdasarkan siasatan awal, mangsa dipercayai menunggang motosikal seorang diri.
Katanya, setibanya di lokasi, mangsa dipercayai gagal mengawal motosikalnya sehingga terbabas ke dalam parit berbatu.
“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang hadir membantu di lokasi.
“Siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 bagi mengenalpasti punca sebenar kejadian,” katanya dalam kenyataan media, semalam.
Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian berkenaan diminta tampil bagi membantu siasatan.
“Sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Saparia Ladoni di talian 019-8095133.
“Semua pengguna jalan juga dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati, mengawal kelajuan kenderaan dam mematuhi peraturan lalu lintas bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” tegasnya.


Keadaan motosikal mangsa yang rosak selepas terbabas ke dalam parit.







