JPJ Sabah sita kenderaan mewah ahli perniagaan

Oleh FARDY BUNGGA

KOTA KINABALU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah menyita sebuah kenderaan mewah milik ahli perniagaan dalam operasi Ops Khas Luxury, semalam.
Pengarah JPJ Sabah, Datuk Mohd Harris Ali berkata, kereta Toyota Supra 3.0L itu disita di Jalan Tuaran, di sini, selepas dikesan atas kesalahan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans yang sah.
Malah katanya, kenderaan berkenaan juga didapati tidak mengikut spesifikasi nombor pendaftaran yang ditetapkan.
“Kesalahan tersebut telah melanggar peraturan dan undang-undang jalan raya di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) mengikut Seksyen 23(1) dan seksyen 90(1).
“Kenderaan disita untuk tindakan selanjutnya mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, pada Selasa.
Mohd Harris berkata, operasi berkenaan akan dilaksanakan secara berterusan dan JPJ tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas termasuk pendakwaan mahkamah mengikut peraturan dan undang-undang yang berkuatkuasa.

DISITA … Kenderaan mewah disita selepas dikesan cukai jalan tamat tempoh dan tiada perlimdungan insurans