Pengurusan Sisa Sabah Perlu Ikut Realiti Setiap Daerah

Oleh JOHN TAMBANAN


KOTA KINABALU: Pendekatan pengurusan sisa di Sabah perlu disesuaikan mengikut keperluan dan realiti setiap daerah berikutan cabaran berbeza di kawasan bandar, luar bandar, pesisir pantai dan kepulauan.
Pengerusi Institut Kajian Pembangunan (Sabah) (IDS), Datuk Seri Panglima Hajah Azizah Mohd Dun, berkata pendekatan secara seragam tidak semestinya mampu menangani keseluruhan isu pengurusan sisa di negeri ini.
Katanya, Sabah perlu memahami bukan sahaja jumlah sisa yang dihasilkan, tetapi juga lokasi dan jenis sisa, kaedah pengumpulan serta cara sisa berkenaan diuruskan selepas dikutip.
“Apabila kita bercakap mengenai masalah sisa di Sabah, sebenarnya kita berdepan dengan pelbagai realiti dan cabaran yang berbeza.
“Penyelesaian untuk kawasan bandar yang menghasilkan ratusan tan sisa sehari belum tentu sesuai bagi komuniti di pulau, luar bandar atau kawasan yang masih menghadapi kesukaran mendapatkan perkhidmatan kutipan sisa secara teratur,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Trash Talk to Action I: Memahami Landskap Pengurusan Sisa di Sabah, anjuran bersama IDS Sabah dan Konrad-Adenauer-Stiftung (KAS) Malaysia, di sini.
Azizah berkata, antara cabaran utama ialah tapak pelupusan Kayu Madang yang menampung sisa dari Kota Kinabalu, Tuaran, Penampang, Putatan dan Kota Belud, dengan kira-kira 800 tan sisa diterima setiap hari.
Katanya, daerah lain pula berdepan cabaran berbeza termasuk pembuangan sisa secara terbuka di kawasan pesisir pantai, pengurusan sisa di kawasan kepulauan, pencemaran marin serta keperluan memperluaskan kemudahan pengumpulan sisa.
Beliau berkata, penggunaan teknologi baharu termasuk cadangan kemudahan biogas di Kayu Madang yang berupaya menukarkan gas metana kepada tenaga elektrik sehingga dua megawatt merupakan perkembangan positif.
Bagaimanapun, katanya, teknologi sahaja tidak mencukupi tanpa sistem kutipan sisa yang cekap, data yang lengkap, pengasingan dan kitar semula serta pembahagian tanggungjawab yang jelas antara institusi berkaitan.
Azizah berkata, mekanisme sedia ada seperti Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) juga boleh dimanfaatkan dengan lebih berkesan bagi meningkatkan penglibatan masyarakat.
“Kita tidak semestinya perlu mewujudkan mekanisme baharu. Sebaliknya, prosedur dan garis panduan dalam mekanisme sedia ada perlu diperkukuhkan supaya masyarakat memahami peranan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata, program Trash Talk to Action akan menjadi asas kepada perbincangan seterusnya berkaitan tadbir urus, penyelarasan institusi dan usaha mewujudkan sistem pengurusan sisa yang lebih bersepadu di Sabah.
“Daripada ‘Trash Talk’ kepada tindakan, kita bukan sekadar bercakap mengenai sampah, tetapi bagaimana membina Sabah yang lebih bersih, mampan dan bertanggungjawab untuk generasi akan datang,” katanya.

Azizah menyampaikan cenderahati kepada Maijol pada majlis berkenaan.