Sepanjang Ramadan 2026 Menerusi Inisiatif i-FB
Oleh JOHN TAMBANAN
KOTA KINABALU: Sebanyak 71.3 tan (71,352.69 kg) lebihan makanan berjaya diselamatkan sepanjang bulan Ramadan lalu menerusi pelaksanaan Program Inisiatif Ihsan Food Bank (i-FB)@Bazar Ramadan 2026 oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersama rakan strategik.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata bagi Sabah sahaja, sebanyak 2.6 tan (2,675.74 kg) makanan berjaya diselamatkan dan diagihkan kepada golongan yang memerlukan.
Menurut beliau, program berkenaan dilaksanakan di 119 bazar Ramadan di seluruh negara dengan penglibatan 2,875 sukarelawan.
“Pencapaian ini membuktikan keberkesanan pendekatan bersepadu dalam meminimumkan pembaziran makanan, memperluas manfaat kepada komuniti serta membantu memelihara alam sekitar dengan mengurangkan pelepasan karbon dioksida (CO₂). Ia juga mengurangkan lambakan sisa makanan di tapak pelupusan,” katanya pada sidang media sempena Program i-FB Santuni Komuniti@Dapur Kita-Kita di premis Jetsin Sdn. Bhd., Bandaran Berjaya, pada Sabtu. Turut hadir Pengarah Urusan Jetsin Sdn. Bhd., Datuk Koh Chung Jade.
Armizan berkata KPDN akan terus memperkukuh kerjasama dengan rakan strategik termasuk pihak industri, peniaga dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam memperkasa pelaksanaan Inisiatif Ihsan Food Bank (i-FB).
Katanya, penyertaan Jetsin Sdn. Bhd., syarikat pembekal dan peruncit makanan sejuk beku halal yang beroperasi di Kota Kinabalu, bersama rakan strategik seperti Persatuan Jurumasak Sabah dan Persatuan Dapur Kita Sabah, dijangka memperkukuh pelaksanaan program “Dapur Kita-Kita”, sebuah inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dimulakan sejak Disember 2024.
“Melalui i-FB@Dapur Kita-Kita, sebanyak 200 pek bantuan makanan bermasak disalurkan kepada golongan memerlukan di sekitar Kota Kinabalu. Program ini turut disokong oleh sukarelawan, khususnya mahasiswa institusi pengajian tinggi di sekitar bandar ini,” katanya.
Armizan turut merakamkan penghargaan kepada Jetsin Sdn. Bhd. atas komitmen mereka membantu golongan memerlukan.
“Pendekatan kolaboratif antara Kerajaan, industri dan komuniti melalui agenda ‘Santuni Komuniti, Sayangi Alam, Selamatkan Makanan’ merupakan tiga teras utama Inisiatif i-FB,” katanya.
Beliau menambah, KPDN melalui Sekretariat Inisiatif i-FB di bawah Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) sedang merangka Pelan Tindakan Food Bank Kebangsaan bagi memperkukuh pelaksanaan inisiatif ini, termasuk cadangan pengiktirafan kepada pihak yang menunjukkan komitmen berterusan.

SUMBANGAN …. Armizan (kiri) diiringi Koh Chung Jade (dua kiri) menyerahkan sumbangan makanan kepada penerima melalui program Ihsan Food Bank di sini, pada Sabtu.




