JIM nafi tahanan Filipina meninggal dunia di depot JIM

Oleh FARDY BUNGGA


KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah menafikan sekeras-kerasnya berhubung dakwaan keadaan sesak di depot telah mengakibatkan ramai tahanan warganegara Filipina meninggal dunia
Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, dakwaan yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu itu tidak benar, tidak berasas dan mengelirukan.
Malah katanya, gambar-gambar yang tular di media sosial itu juga bukan merupakan gambar yang merujuk kepada mana-mana Depot Tahanan Imigresen di bawah seliaan Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah.
“Semua tahanan warganegara Filipina yang ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Negeri Sabah berada dalam keadaan baik sementara menunggu proses penghantaran pulang ke negara asal.
“Sepanjang tempoh tahanan, semua penghuni depot diberikan layanan dan perlindungan sewajarnya selaras dengan peruntukan undang-undang serta prosedur operasi yang berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan media, kelmarin.
Menurutnya, semua tahanan diberikan kemudahan asas termasuk penyediaan makanan mengikut jadual yang ditetapkan serta mematuhi menu dan ketetapan nutrisi yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengikut keperluan orang dewasa dan kanak-kanak.
Selain itu, katanya, tahanan turut diberikan akses kepada rawatan perubatan apabila diperlukan serta keperluan asas lain mengikut keperluan.
“JIM Negeri Sabah turut menjelaskan bahawa proses penghantaran pulang tahanan warganegara Filipina melalui operasi kapal dari Sandakan ke Zamboanga, yang sebelum ini merupakan laluan utama repatriasi, telah digantung operasinya oleh pihak berkuasa Filipina sejak bulan Februari 2026.
“Keadaan ini telah memberi kesan kepada kelancaran proses penghantaran pulang tahanan ke negara asal.
“Bagi memastikan proses repatriasi terus dilaksanakan, JIM Negeri Sabah menggunakan laluan alternatif iaitu melalui penerbangan dari Kota Kinabalu ke Manila serta laluan laut dari Lahad Datu ke Bongao. 
“Walau bagaimanapun, pelaksanaan penghantaran pulang melalui laluan alternatif ini adalah tertakluk kepada persetujuan keluarga tahanan untuk menanggung kos perjalanan berkenaan,” tegasnya.
Sehubungan itu, SH Sitti Saleha menegaskan JIM Sabah sentiasa komited untuk memastikan kebajikan, keselamatan dan kesihatan semua tahanan terus terpelihara.

Katanya, ia turut melaksanakan proses penghantaran pulang mengikut undang-undang, prosedur yang ditetapkan serta kerjasama erat dengan pihak berkuasa Republik Filipina.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mempercayai atau menyebarkan sebarang maklumat, gambar atau kandungan yang tidak sahih dan mengelirukan.
“Orang ramai juga disaran mendapatkan maklumat yang tepat hanya melalui saluran rasmi Jabatan Imigresen Malaysia,” katanya.

SH Sitti Saleha