KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan, Datuk Fairuz Renddan, mengecam keras tindakan seorang lelaki yang dipercayai tenaga pengajar madrasah yang memukul sekumpulan remaja lelaki menggunakan topi keledar di kawasan kedai, seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.
Beliau berkata, rakaman video berdurasi hampir lima minit itu jelas memaparkan perlakuan yang sama sekali tidak wajar, apatah lagi apabila melibatkan pelajar madrasah.
“Video yang tular itu menunjukkan perbuatan yang tidak sepatutnya dilakukan terhadap anak-anak madrasah. Jika benar wujud masalah, kesalahan atau pelanggaran disiplin, tindakan menghukum dengan cara menghentak kepala menggunakan topi keledar sama sekali tidak boleh diterima.
“Ini merupakan tindakan yang tidak berasas, tidak beretika dan tidak berperikemanusiaan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Menurut Fairuz, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas terhadap lelaki dewasa terbabit bagi memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang pada masa hadapan.
“Malam tadi, lelaki berusia dalam lingkungan 30-an itu telah ditahan oleh pihak polis untuk tujuan siasatan. Saya berharap kejadian seumpama ini dapat dielakkan dan dikekang daripada berulang lagi,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa pembentukan sahsiah anak-anak perlu dilakukan melalui pendekatan berhemah dan penuh hikmah, bukannya dengan keganasan.
“Kesalahan tingkah laku anak-anak perlu ditegur melalui bimbingan dan pendidikan yang betul, bukan dengan tindakan keji seperti yang dipaparkan dalam video berkenaan,” tambahnya.
Dalam pada itu, Fairuz yang juga Pembantu Menteri kepada Kerajaan Tempatan dan Perumahan menekankan keperluan pihak berkuasa tempatan untuk sentiasa memantau sistem pengurusan sekolah-sekolah agama termasuk madrasah bagi mengelakkan kejadian serupa daripada berulang.
“Perlu ada tindakan khusus dan pemantauan berterusan terhadap pengurusan sekolah-sekolah seperti ini. Ibu bapa menghantar anak-anak ke madrasah dengan satu tujuan, iaitu membentuk sahsiah dan pendidikan agama anak-anak mereka.
“Mereka meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada tenaga pengajar untuk mendidik serta menjaga kebajikan anak-anak. Kejadian seperti ini sudah tentu menimbulkan kegusaran dalam kalangan ibu bapa sekiranya tiada tindakan drastik dan berterusan diambil,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa generasi muda, khususnya pelajar sekolah, merupakan aset dan pelapis masa depan negeri Sabah yang hak mereka terhadap pendidikan dan perlindungan perlu diutamakan.
“Anak-anak kita adalah permata yang bakal menjadi penerus dan pemimpin masa depan negeri ini. Mereka berhak untuk belajar dalam suasana yang aman, selamat serta terjamin dari segi kebajikan, terutamanya di tempat mereka dididik.
“Semua pihak perlu sedar bahawa tindakan berunsur keganasan yang boleh dianggap sebagai zalim ini hanya akan merugikan institusi masyarakat serta mencemarkan persepsi awam,” katanya.-JT

Fairuz Renddan




