Oleh FARDY BUNGGA
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah mempunyai hak mutlak untuk menentukan siapa yang dibenarkan masuk atau tidak ke Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, tindakan berkenaan bagaimanapun berdasarkan maklumat daripada pihak keselamatan dan agensi yang berkaitan.
Katanya, berdasarkan maklumat pihak yang berkenaan barulah Kerajaan Negeri boleh mengambil tindakan mengikut bidang kuasa yang ada.
“Untuk makluman, Kerajaan Negeri Sabah ada kuasa yang mutlak untuk mempastikan siapa yang boleh masuk ke Sabah atau tidak.
“Ini juga perlu maklumat dari pihak keselamatan dan pihak yang tertentu baru kita ambil tindakan,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Pelancaran Program Kedai Jujur di Sekolah Kebangsaan (SK) Mutiara, di sini.
Hajiji berkata demikian bagi mengulas dakwaan ahli perniagaan, Datuk Albert Tei yang dihalang memasuki Sabah selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini, semalam.
Albert difahamkan datang ke Sabah untuk hadir ke mahkamah bagi sebutan semula kes rasuah berkaitan isu permohonan lesen cari gali mineral yang dijadual di Mahkamah Sesyen, di sini, kelmarin.
Selain Albert, dua lagi tertuduh dalam kes itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob dan ADUN Tanjung Batu, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy.
Terdahulu, peguam Albert, Mahajoth Singh meminta penjelasan daripada Ketua Menteri mengenai sekatan yang dikenakan ke atas anak guamnya.
Albert dijadual menghadiri sebutan kes di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, pada jam 9 pagi, kelmarin namun dihalang sebaik tiba KKIA pada kira-kira jam 12.30 tengah hari, pada Isnin.
Dalam pada itu, mengulas mengenai 13 korban kejadian tanah runtuh di Papar, Penampang dan Kota Kinabalu membabitkan dua lelaki dewasa, empat wanita, lima kanak-kanak lelaki serta dua kanak-kanak perempuan, Hajiji menjelaskan sama ada keluarga mangsa layak menerima manfaat daripada Skim Insurans Rakyat Sabah masih dalam semakan.
“Saya sudah berbincang dengan Kementerian Kewangan untuk menyalurkan bantuan berkaitan kematian daripada skim insurans tersebut. Jadi, saya akan semak dan pastikan sama ada mereka layak atau tidak,” ujarnya.
Bagaimanapun, menurutnya Kerajaan Negeri telah menyalurkan bantuan segera kepada keluarga mangsa.
“Kerajaan melalui Yayasan Kebajikan Sabah telah memberi RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa yang meninggal dunia. Selain itu, kerajaan Negeri turut menyalurkan RM10,000,” jelasnya.
Hajiji menambah, siasatan lanjut akan dilakukan bagi memastikan sama ada skim insurans tersebut turut meliputi mangsa tragedi berkenaan.









