KGKS sokong NUTP perjuang hak GKMP terus terima ETPS

Oleh JOHN TAMBANAN


KOTA KINABALU: Kesatuan Guru Kerajaan Sabah (KGKS) menyatakan sokongan penuh terhadap gesaan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) supaya Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menyemak semula kelayakan Elaun Tugas Pentadbiran Sekolah (ETPS) bagi memastikan semua Guru Kanan Mata Pelajaran (GKMP) terus menerima elaun berkenaan tanpa mengira gred sekolah.
Presiden KGKS, Murkam Hj Hussien, berkata langkah itu penting bagi memastikan kebajikan GKMP terbela, selain mengelakkan kesukaran melantik guru untuk mengisi jawatan berkenaan pada masa depan.
Beliau berkata, KGKS senada dengan perjuangan NUTP berhubung nasib GKMP yang kehilangan kelayakan menerima ETPS susulan penurunan gred 626 sekolah menengah daripada Gred A kepada Gred B di seluruh negara.
Susulan perubahan itu, seramai 2,504 GKMP tidak lagi layak menerima elaun berkenaan, sekali gus menyebabkan pembayarannya dihentikan secara rasmi.
“KGKS menyokong rayuan NUTP kerana tindakan menghentikan elaun ini tidak wajar memandangkan GKMP di sekolah Gred A mahupun Gred B memikul beban tugas, tanggungjawab dan tekanan kerja yang sama,” katanya dalam kenyataan, kelmarin.
Murkam berkata, penggredan semula sekolah menengah oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkuat kuasa 11 Januari 2026 berdasarkan tiga kriteria, iaitu enrolmen murid dengan wajaran 80 peratus, bilangan penghuni asrama (10 peratus) dan peringkat pendidikan (10 peratus).
Berikutan pelaksanaan itu, sebanyak 626 sekolah menengah diturunkan daripada Gred A kepada Gred B.
Beliau berkata, KPM sebelum ini mengemukakan usul dan surat rayuan kepada JPA pada 13 Ogos 2026 bagi mempertahankan pembayaran ETPS, namun dimaklumkan pada 23 September lalu bahawa rayuan berkenaan tidak dapat dipertimbangkan.
Bagaimanapun, seramai 1,356 GKMP di sekolah yang berjaya dinaikkan ke Gred A akan menerima bayaran tunggakan ETPS pada tahun depan.
Dalam perkembangan berkaitan, Murkam meminta JPA dan KPM supaya tidak menuntut pembayaran balik elaun daripada GKMP yang tidak lagi layak, khususnya bagi tempoh sebelum tarikh kuat kuasa penamatan elaun pada November ini.
Beliau berkata, tindakan menuntut bayaran balik secara kebelakangan akan membebankan guru terbabit dan sewajarnya diberi pertimbangan.
“Ini satu bentuk penganiayaan kepada guru terbabit dan perkara ini wajar dipertimbangkan sewajarnya,” katanya.

Murkam Hj Hussien