Kemurungan remaja meningkat, sokongan kesihatan mental perlu diperkasa

KOTA KINABALU: Peningkatan kadar kemurungan dan kesunyian dalam kalangan remaja perlu diberi perhatian serius dengan sokongan kesihatan mental diperkukuh di peringkat keluarga, sekolah dan komuniti, kata Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki.
Beliau berkata, berdasarkan dapatan National Health and Morbidity Survey (NHMS), prevalens kemurungan dalam kalangan remaja di Malaysia meningkat daripada 17.7 peratus pada 2012 kepada 26.9 peratus pada 2022.
Katanya, peratus remaja yang melaporkan berasa kesunyian turut meningkat daripada 8.1 peratus kepada 16.2 peratus dalam tempoh sama.
“Perkembangan ini memerlukan kita memperkukuh sokongan kesihatan mental di peringkat keluarga, sekolah dan komuniti,” katanya ketika berucap merasmikan Seminar Kependudukan Peringkat Negeri Sabah sempena Sambutan Hari Penduduk Sedunia 2026 di Dewan Rafflesia Politeknik, di sini.
Julita berkata, kerajaan memperkasa Pasukan Perkhidmatan Sokongan Kesihatan Mental dan Psikososial (MHPSS) bagi menyediakan rawatan kecelaruan mental dan perkhidmatan kaunseling.
Katanya, program saringan kesihatan mental dan fizikal turut diselaraskan di sekolah serta komuniti, selain kempen kesedaran, saringan di kawasan luar bandar dan Program Sabah Sihat bagi mendekatkan perkhidmatan psikologi kepada rakyat.
Usaha itu katanya, diperkukuh melalui kerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Program Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat-Sabah Maju Jaya (ANMS-SMJ).
Dalam pada itu, Julita berkata Sabah turut berdepan fenomena penuaan penduduk yang memerlukan perancangan rapi, termasuk penyediaan sistem sokongan mesra usia, penjagaan kesihatan dan sokongan keluarga yang mampan.
Katanya, agenda kesejahteraan rakyat menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 turut memberi penekanan terhadap akses kesihatan dan pembangunan sosial.
“Institusi keluarga penting dalam membentuk keperibadian anak-anak, khususnya ketika ibu bapa berdepan cabaran era digital, media sosial dan kecerdasan buatan (AI).
“Bimbingan keibubapaan dan sokongan psikososial perlu terus diperkukuh bagi mewujudkan persekitaran yang selamat dan menyokong,” katanya.

Julita (kanan) meletakkan tandatangan sebagai gimik perasmian program.