Aidilfitri besar ertinya bagi memupuk silaturahim

PITAS: Kehadiran lebih 500 hadirin dalam Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2025 anjuran warga kerja Agropolitan dan Dandulit (Agrodandulit) di Kampung Pinggan-Pinggan dekat sini baru-baru ini amat besar ertinya bagi memupuk kemesraan dan ikatan silaturahim dalam masyarakat berbilang kaum di negeri ini.
Presiden Pertubuhan Dusun Islam Sabah (PDIS) Datuk Haji Harun Haji Ismail berkata kehadiran masyarakat berbilang kaum dalam majlis itu mencerminkan jalinan persahabatan dan semangat perpaduan yang kukuh di kalangan rakyat.
“Kita hendaklah sentiasa memelihara hubungan silaturahim sesama kita dan menyantuni masyarakat bukan Islam di samping mengukuhkan perpaduan bagi memudahkan pelaksanaan agenda pembangunan untuk kebaikan dan manfaat bersama,” kata Harun yang juga Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Oil & Gas Development Coorperation Sdn Bhd.
Hadir sama, Isteri Harun Datin Hajjah Siti Mariam Wong, Pengerusi Persatuan Komuniti Agropolitan Pitas merangkap pengerusi penyelaras program Rossdy Abdul Hamid, Pegawai Khas Datuk Harun, Ikmal Atong dan Abdul Majid Tarip@Man serta rombongan.
Turut hadir, Ketua Kampung Pinggan-Pinggan Abdul Rajik Kurupong mengetuai warga setempat yang hadir, Ahli Jawatankuasa PGRS Dun Pitas Stanly @Awit Lumbihan, Indera Abdul Rahman dan Mikson.

TAHNIAH… Harun (kanan) menyampaikan hadiah johan pertandingan pakaian hari raya/fesyen kanak-kanak disaksikan oleh Rossdy dan yang lain.