KOTA MARUDU: GRS N6 Bandau tidak melepaskan peluang untuk turut sama menganjurkan Rumah Terbuka Aidilfitri peringkat Bahagian Bandau yang dirasmikan oleh Pembantu Menteri 1 Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sabah, Datuk Isnin Aliasnih bertempat di Dewan PPR Taman Kerongkom Jaya Kota Marudu.
Program yang dihadiri lebih kurang 1000 orang pengunjung ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim di antara pemimpin dan rakyat.
Pengerusi GRS N6 Bandau, Datuk Maijol Mahap berkata, GRS Bahagian N6 Bandau akan sentiasa melaksanakan program-program yang mampu mengeratkan hubungan antara pemimpin dan rakyat.
“Ini kerana pemimpin yang lahir pada hari ini adalah hasil sokongan daripada rakyat,” katanya.
Sementara itu dalam ucapannya Isnin merakamkan sekalung penghargaan dan terima kasih atas jemputan dan mengucapkan tahniah kepada GRS N6 Bandau atas inisiatif program seumpama ini.
Program ini diselaraskan oleh Ust Isahak Awang selaku AJK GRS N6 Bandau.
Turut disampaikan pada majlis itu adalah hadiah pertandingan Colour Light Pelita Raya Tertutup Bahagian N6 Bandau yang dianjurkan oleh Pergerakan Pemuda Gagasan Rakyat Sabah N6 Bandau yang diketuai oleh Ust Farid Liman dan diselaraskan oleh Ust Habibi.
Pertandingan yang julung kalinya diadakan ini dimenangi oleh Puan Shasha Simmad dengan membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,000.
Tempat kedua dan ketiga masing-masing dimenangi oleh Puan Moni Sunding dan Puan Wahidawaty Aliuddin dengan membawa pulang hadiah wang tunai masing-masing RM800 dan RM700.
Bagi kategori like Facebook terbanyak pula telah dimenangi oleh Puan Wahidawaty Aliuddin.








