Penjagaan warga emas perlu disesuaikan mengikut keperluan individu

Oleh Wu Vuide

MATUNGGONG: Penjagaan kesihatan warga emas perlu mengambil kira keupayaan dan keadaan kesihatan setiap individu bagi memastikan perkhidmatan serta sokongan yang diberikan bersesuaian dengan keperluan masing-masing.
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Julita Majungki berkata, warga emas mempunyai tahap kesihatan dan keupayaan fizikal yang berbeza, justeru pendekatan penjagaan secara individu perlu dilaksanakan dan bukannya menyamaratakan keperluan mereka berdasarkan faktor usia semata-mata.
Beliau berkata, terdapat warga emas yang masih sihat dan mampu menjalani kehidupan secara berdikari, manakala sebahagian lagi memerlukan sokongan untuk mengekalkan keupayaan diri atau bantuan dalam menguruskan aktiviti harian.
“Penjagaan perlu disesuaikan dengan keadaan setiap individu. Matlamatnya bukan sekadar memenuhi keperluan rawatan mereka, tetapi juga membantu warga emas mengekalkan keupayaan diri, kebebasan dan maruah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Warga Emas Antarabangsa Peringkat Negeri Sabah 2026 di Dewan Terbuka Pekan Matunggong, di sini.
Julita berkata, pendekatan itu selaras dengan konsep Penuaan Sihat (Healthy Ageing) yang diperkenalkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan turut menjadi asas kepada Pelan Tindakan Perkhidmatan Kesihatan Warga Emas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) 2023-2030.
Katanya, pelan berkenaan merangkumi pelbagai perkhidmatan termasuk saringan dan penilaian kesihatan, pemeriksaan perubatan, rawatan, kaunseling, rujukan, penjagaan di rumah serta pemulihan.
Beliau turut menegaskan bahawa warga emas yang memerlukan bantuan perlu terus diberikan peluang untuk menyuarakan pandangan dan terlibat dalam membuat keputusan berkaitan penjagaan mereka, mengikut keupayaan masing-masing.
“Kita perlu menghormati pilihan dan maruah setiap warga emas. Keperluan mendapatkan bantuan tidak bermakna hak mereka untuk menyuarakan pandangan mengenai penjagaan diri boleh diketepikan,” katanya.
Beliau berharap pendekatan penjagaan secara individu terus diperkukuh bagi memastikan warga emas menerima perkhidmatan yang bersesuaian dengan keperluan masing-masing.

SIMBOLIK… Julita (lima kanan) memotong kek sempena Sambutan Hari Warga Emas Antarabangsa Peringkat Negeri Sabah 2026.