
Fardy Bungga
asiatimesrp@hotmail.com
RANAU: Seorang lelaki ditahan selepas didapati memiliki dadah jenis syabu ketika ditahan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Dumpiring Atas Kundasang, di sini, kelmarin.
Suspek berusia lingkungan 20-an itu ditahan sepasukan anggota aolis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau yang menjalankan Operasi ‘Ops Tapis’ jam 1.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Sammy Newton berkata, suspek ditahan untuk pemeriksaan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan.
Katanya, pemeriksaan terhadap badan suspek membawa kepada penemuan satu paket plastik lutsinar kecil berisi serbuk kristal disyaki dadah jenis syabu.
“Anggaran berat kasar dadah yang dirampas adalah sebanyak 0.30 gram yang disembunyikan didalam poket seluar yang dipakai suspek.
“Syabu yang dirampas dianggarkan bernilai RM150 berdasarkan harga pasaran semasa,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Sammy berkata, ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap suspek juga didapati positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.
Katanya, suspek kemudiannya dibawa ke IPD Ranau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.
Sehubungan itu, Sammy mengingatkan kepada masyarakat Ranau supaya menghindarkan diri daripada terlibat dengan kegiatan dadah.
Selain itu katanya, orang ramai juga dialu-alukan supaya terus menyalurkan maklumat berkaitan penyalahgunaan dadah kepada pihak polis untuk tindakan segera.
tamat





