
LAHAD DATU: Pasukan Polis Marin (PPM) Lahad Datu berjaya merampas 2,500 bungkus rokok seludup dalam operasi serbuan di sebuah rumah di Kampung Bakau Baru, Jalan Silam, di sini, kelmarin.
Dalam serbuan jam 11.30 pagi itu, pasukan PPM yang bertindak atas maklumat orang awam menyerbu ke rumah berkenaan sebelum menemui semua rokok yang dipercayai dibawa masuk dari negara jiran.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah Empat Lahad Datu, Superintendan Gan Ping Sin berkata, hasil pemeriksaan mendapati semua rokok yang tidak berbayar cukai berkenaan disembunyikan di dalam beg plastik hitam dan disimpan di stor belakang rumah tidak bernombor berkenaan.
Katanya, pemeriksaan lanjut kemudiannya mendapati terdapat sebanyak 2,500 bungkus rokok jenama ‘Premium International‘.
“Hasil penemuan itu, polis menahan seorang lelaki lingkungan berusia 47 tahun warga Filipina”.
“Anggaran jumlah rampasan rokok dianggarkan bernilai RM 36,300.00 selepas cukai,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Gan berkata, semua barang rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Lahad Datu untuk tindakan lanjut.
Manakala katanya, suspek yang ditahan pula dibawa ke Hospital Lahad Datu untuk menjalani pemeriksaan kesihatan Covid-19 swab oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang 10 ganda nilai atau RM100,000 atau RM500,000 atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.
“Pihak PPM amat menggalakkan masyarakat pesisir pantai dan maritim khususnya untuk menyalurkan apa-apa maklumat melalui aplikasi whatsApp Pasukan Polis Marin Wilayah Empat Sabah di nombor 0132831197.
“Sebarang maklumat juga boleh disalurkan dengan menghubungi Gerakan PPM Lahad Datu di talian 0139808084 bagi memastikan keselamatan dan kemakmuran setempat terjaga dan terkawal,” tegasnya.
Tamat







