
Fardy Bungga
asiatimesrp@hotmail.com
Penampang: Seorang lelaki berusia 26 tahun patah jari serta cedera di muka dan badan selepas mercun yang cuba dibakar meletup sendiri, semalam.
Dalam kejadian jam 10 pagi itu, mangsa dipercayai cuba membakar mercun jenis ‘Crazy Bang’ di koridor hadapan rumah mertuanya, di sini.
Bagaimanapun, mercun berkenaan dikatakan tiba-tiba meletup sehingga menyebabkan mangsa pengsan.
Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati, mangsa terus pengsan di tempat kejadian.
Katanya, pihak keluarganya terus menghubungi 999 untuk mendapatkan bantuan kecemasan daripada pihak hospital.
“Mangsa dihantar menggunakan helikopter ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI), Kota Kinabalu untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Mangsa mengalami kecederaan pada bahagian muka, badan dan patah pada bahagian jari,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mohd Haris berkata, mangsa kini berada dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan di Hospital.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.
Tamat







