KEPRIHATINAN PIBG TERHADAP PELAJAR DAN SEKOLAH: PETER JR

Sandakan: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Konven St Cecilia menyumbangkan empat projektor Acer DLP untuk kegunaan proses pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) di sekolah berkenaan, hari ini.

Selain itu, sebanyak 1,000 pelitup muka turut disumbangkan sebagai tambahan untuk kegunaan guru dan pelajar di sekolah berkenaan.

Yang Dipertua PIBG berkenaan, Dr. Peter Jr. Naintin berkata, sumbangan berkenaan adalah usaha bersama untuk membantu pihak sekolah dan pelajar dalam menghadapi norma baharu semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Katanya, sumbangan ini akan dapat memastikan kaedah pembelajaran pelajar di sekolah berkenaan tidak terganggu walaupun diadakan secara diluar kebiasaan.

“Kita berharap dengan sumbangan yang disampaikan ini akan dapat memantapkan lagi pembelajaran pelajar-pelajar di sekolah ini.

“Kami mohon agar ibu bapa dan guru untuk terus menyokong usaha-usaha ini untuk membantu pelajar mencapai kecemerlangan terutama dalam bidang akademik,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Peter berkata, pihak PIBG juga berkesempatan untuk memberikan insentif khas kepada dua pasukan yang berjaya mewakili Sabah ke Pertandingan Kuiz Bible Knowledge 2020 di ibu negara.

Katanya, berbeza dari sebelumnya apabila peserta-peserta ini akan diterbangkan ke Kuala Lumpur untuk bertanding di peringkat nasional.

“Namun kali ini, pertandingan bagi 24th SPM Bible Knowledge Oral Quiz 2020 hanya dibuat secara atas talian sahaja.

“Kami mendoakan semoga pelajar-pelajar kita dapat mencapai kejayaan yang cemerlang untuk pertandingan kali ini,” tegasnya.

Tamat