PPM Tahan Kapal Nelayan.

SANDAKAN: Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan berjaya menahan sebuah bot nelayan jenis tunda di kawasan perairan Tanjung Layar-Layar, di sini, Isnin lalu.

Dalam kejadian jam 12 tengah malam itu, kapal berkenaan dikesan dalam operasi Ops Gelora yang dijalankan sepasukan empat anggota PPM.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Sandakan, Deputi Superintendan Rusdin Banin berkata, kapal berkenaan ditahan ketika sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan di kedudukan kurang tiga Batu Nautika dari persisiran pantai.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut mendapati bot tunda berkenaan melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985.

“Kapal nelayan berkenaan dikesan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 8 (b) Akta Perikanan iaitu melanggar syarat lesen dibenarkan.

“Kapal nelayan berkenan dan semua awak-awak warganegara Malaysia itu kemudiannya ditahan untuk membantu siasatan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Rusdin berkata, pihaknya turut merampas beberapa peralatan seperti pukat tunda dan pelbagai hasil laut seberat kira-kira 10 kilogram.

Katanya, bot nelayan berkenaan kemudiannya dibawa ke Pangkalan PPM Sandakan untuk pemeriksaan lanjut sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Jabatan Perikanan.

“Bagi kesalahan pertama, pemilik kapal akan dikompaun sebanyak RM500 dan bagi kesalahan kedua boleh dikenakan denda sebanyak RM1,000.

“Manakala bagi kesalahan ketiga pula, pesalah boleh dikenakan denda sebanyak RM1,500 dan sekiranya kesalahan berulang lagi, lesen boleh dibatalkan dan kapal juga akan disita,” katanya.

Sehubungan itu, Rusdin berkata, orang ramai terutama masyarakat maritim dan pesisir pantai disarankan supaya membantu menyalurkan maklumat kepada PPM Wilayah Empat Sabah untuk tindakan penguatkuasaan.

Katanya, setiap maklumat boleh disalurkan menerusi aplikasi whatsApp ke talian 0132831197 atau berhubung terus dengan mana-mana balai polis berdekatan.

Tamat