KOTA KINABALU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah akan menubuhkan lebih banyak badan Bomba Komuniti, Bomba Bantuan dan Sukarelawan Bomba di seluruh negeri.
Ia bagi memastikan masa tindak balas pasukan bomba ke tempat kecemasan lebih cepat berikutan keadaan muka bumi negeri ini yang amat luas.
Pegarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Md Ali Ismail berkata, tindakan itu dijangka akan meningkatkan kadar peratusan ketibaan anggota bomba ke lokasi kecemasan kurang dari masa ditetapkan.
Katanya, ia juga sebahagian usaha daripada meneruskan perancangan sedia ada oleh pengarah JBPM negeri sebelum ini.
“Kita faham kerajaan menghadapi kekangan dari aspek bajet bagi membina lebih banyak balai bomba.
“Oleh demikian, kita memerlukan lebih ramai Bomba Komuniti, Bomba Bantuan dan Sukarelawan Bomba yang dapat memainkan peranan penting dalam memastikan kebakaran dapat dikawal sebelum ketibaan pasukan Bomba dan penyelamat ke lokasi kejadian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Serah Terima Tugas, Pengarah JBPM Sabah di Ibu Pejabat JBPM, di sini.
Turut hadir ialah mantan Pengarah JBPM Sabah, Kamarulzaman Malik Abdullah dan Timbalan Pengarah JBPM Sabah Zuraidah Latip.
Md Ali berkata, kewujudan sukarelawan bomba ini dapat memastikan lebih banyak harta benda dan nyawa dapat diselamatkan.
“Kita juga akan melaksanakan lebih banyak latihan bagi memperkukuhkan pasukan ini,” katanya.
Sementara itu, Md Ali berkata, pihaknya akan memperkuatkan lagi kelengkapan logistik termasuk peralatan penyelamatan dalam menghadapi cabaran bencana banjir berikutan musim tengkujuh ketika ini.
Katanya, JBPM akan merangka pelan perancangan yang terbaik dalam penugasan kebombaan bagi meningkatkan kecekapan dalam memberikan perkhidmatan kepada masyarakat.
Tamat






