Putatan: Empat beradik termasuk seorang kanak-kanak berusia lapan tahun dikhuatiri lemas selepas hilang ketika mandi Pantai Gorongon, berhampiran Kampung Contoh, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, empat mangsa berusia 8 hingga 17 tahun terbabit dikatakan bersama empat lagi rakan ke pantai berkenaan untuk bermandi-manda.
Bagaimanapun, arus air laut di pantai berkenaan dikatakan tiba-tiba deras dan terus menghanyutkan semua kelapan-lapan mangsa.
Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, empat daripada mangsa berusia 9 hingga 13 tahun berjaya menyelamatkan diri sebelum meminta bantuan daripada penduduk berhampiran.
Katanya, empat lagi mangsa pula gagal dikesan sebelum Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dihubungi untuk mendapatkan bantuan kecemasan.
“Operasi mencari mangsa dijalankan Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) JBPM, yang melakukan pencarian di permukaan ketika ini,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.
Mohd Haris berkata, seorang daripada mangsa yang terselamat dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Empat mangsa yang masih hilang dikenali sebagai Korais Amit, 8, Norain Amit, 13, Rafidah Amit, 14, dan Dalang, 17 tahun.
Tamat









