Kota Kinabalu: Sebanyak 10 rumah perkampungan atas air di Kampung Tanjung Aru Baru, di sini, dilaporkan musnah terbakar, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, api dipercayai bermula dari sebuah rumah sebelum merebak ke kediaman lain sekitar penempatan berkenaan dalam tempoh singkat.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Affendy K Ramin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.08 pagi.
Katanya, sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu dan Penampang dikerah ke lokasi kejadian sebelum tiba di lima minit kemudian.
“Sebaik tiba di lokasi, api didapati sedang marak sehingga memusnahkan 10 rumah berstruktur kayu atas air.
“Pasukan bomba yang turut dibantu penduduk kampung berjaya mengawal kebakaran daripada terus merebak dan menyelamatkan sebahagian lagi rumah berdekatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Affendy berkata, api berjaya dikawal pada jam 7.58 pagi dan operasi memadamkan saki baki api kebakaran masih berjalan.
Katanya, tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kejadian serta jumlah kerugian masih disiasat Unit Forensik Kebakaran.
Sementara itu, operasi memadam turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pertahanan Awam (APM), Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).
Untuk rekod, pada 25 Mei lalu, sebanyak 25 rumah atas air di Kampung Tanjung Aru yang terletak berhampiran kejadian kali ini turut musnah terbakar.
tamat







