Minuman keras seludup dirampas.

Beaufort: Ribuan tin minuman keras tidak bercukai yang cuba diseludup dari Wilayah Persekutuan Labuan berjaya dirampas Pasukan Polis Marin (PPM) dalam operasi yang dijalankan, di Pekan Menumbok, di sini, semalam.

Dalam operasi jam 12 tengah hari itu, semua minuman keras bernilai lebih RM200,000 itu dikesan dibawa oleh seorang lelaki dan wanita berusia 40 dan 37 tahun di dalam kenderaan masing-masing.

Pegawai Pemerintah PPM Labuan, Asisten Superintendan Saidul Maruf Rosli berkata, sebaik ditahan, pemeriksaan terhadap kedua-dua kenderaan menemui sejumlah minuman keras pelbagai jenis tidak bercukai.

Katanya, semua minuman berkenaan disyaki diseludup ke Sabah dari Labuan tanpa melalui jalan yang diwartakan.

“Nilai minuman keras dan dua kenderaan yang dirampas dianggarkan berjumlah RM210,594 berdasarkan harga pasaran semasa.

“Tangkapan dan barang rampasan kemudiannya diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort untuk tindakan lanjut,”’katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Saidul Maruf berkata, kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967.

Sehubungan itu, Saidul maruf berkata, masyarakat pesisir pantai dan maritim khususnya diminta supaya terus membantu menyalurkan maklumat.

Katanya, maklumat boleh disalurkan menerusi aplikasi whatsApp Pasukan Polis Marin Wilayah Empat Sabah di talian 0132831197 bagi memastikan keselamatan dan kemakmuran setempat terjaga serta terkawal.

Tamat