Kota Kinabalu: Naib Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Peter Anthony mengumumkan keluar parti dan bakal menubuhkan parti baharu, Januari ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap berkata, tindakan beliau turut disertai ADUN Limbahau, Datuk Juil Nuatim.
Katanya, mereka bersama penyokong sepakat untuk membentuk parti yang memberi fokus kepada masyarakat Kadazan, Dusun, Murut (KDM) terutamanya di kawasan pedalaman Sabah.
“Kita akan membentuk satu gabungan bersama-sama dengan kepimpinan kerajaan Pusat dan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
“Ini adalah jalan terbaik bagi kita bersama-sama membendung atau menyelesaikan segala masalah yang dihadapi khususnya di Sabah ini,” katanya ketika ditemui media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini, hari ini.
Peter berkata, perkara itu sudah diputuskan untuk menubuhkan parti tempatan berasaskan pelbagai kaum dan ia akan diumumkan dalam masa terdekat.
Terdahulu, ratusan penyokong terdiri daripada masyarakat KDM hadir menyambut beliau yang tiba di KKIA bagi memberi sokongan kepada keputusannya.
Tamat






