Kota Kinabalu: Seorang lelaki maut selepas dipercayai dibelasah penjenayah yang disyaki sedang mencuri kabel elektrik di kawasan lapang di Kingfisher, di sini, tengah malam semalam.
Dalam kejadian jam 12 tengah malam itu, mangsa yang berusia 50 tahun ditemui rakannya dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah sebelum membuat laporan polis.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, siasatan awal mendapati, mangsa dikatakan keluar untuk memeriksa fius elektrik selepas bekalan elektrik di rumah kongsi mangsa terputus.
Katanya, bagaimanapun selepas sejam, kejadian hanya disedari rakan mangsa selepas turut ke lokasi kejadian untuk memeriksa masalah bekalan elektrik yang terputus.
“Ketika sedang membuat pemeriksaan, rakan mangsa menyedari kelibat orang dalam keadaan tertiarap dan tidak sedarkan diri dengan kesan tompokan darah.
“Lelaki terbabit terus menghubungi rakannya (si mati) sebelum terkejut apabila bunyi deringan telefon bimbit itu bersebelahan dengan kelibat lelaki yang tertiarap,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mohd Zaidi berkata, rakan mangsa terus bertindak menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut.
Katanya, siasatan lanjut di lokasi dengan bantuan pasukan Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah mendapati mangsa mengalami cedera kesan bengkak di mata dan kesan remuk pada dahi disyaki dipukul menggunakan objek keras.
“Polis turut menemui sebatang kayu beruti disyaki digunakan suspek untuk menyerang mangsa.
“Mayat mangsa sudah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk tujuan bedah siasat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian ini diminta supaya menghubungi polis untuk membantu siasatan,” katanya.
Tamat







